Yang di-Pertuan Agong, Sultan bukan boneka


(Utusan Malaysia) – Pemangku Sultan Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah, Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu bukan boneka yang hanya sekadar menurunkan mohor perkenan kepada setiap dokumen yang dipersembah dengan mata tertutup, mulut terkunci dan tangan terikat tanpa kuasa menyuarakan pendirian.

Sebaliknya, titah baginda, raja dan Yang di-Pertuan Agong berperanan sebagai penimbang tara yang adil dan saksama jika mendapati nasihat yang dipersembah menyimpang daripada undang-undang, tergelincir daripada landasan keadilan, berunsur penindasan atau boleh memudaratkan negara.

Baginda bertitah, raja tidak harus rasa tertekan dan tidak semestinya memberi perkenan jika nasihat yang dipersembah bertentangan syarak, bercanggah dengan Perlembagaan serta undang-undang sehingga memungkinkan berlakunya penindasan dan kezaliman.

“Raja Berperlembagaan memiliki tiga hak. Pertama hak untuk dirunding, kedua, hak untuk memberi nasihat dan terakhir hak untuk memberi peringatan.

“Apabila dirujuk, raja hendaklah memberikan pandangan secara bebas tanpa ragu dan pilih kasih dan dalam perkara berkait dengan budi bicara, baginda hendaklah menyempurnakannya dengan hikmah lagi bijaksana demi membuktikan raja bersifat arif, adil sebagai penimbang tara yang bebas dari cabang legislatif, eksekutif serta kehakiman,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk Perlembagaan dan Islam: Peranan Institusi Raja sempena Seminar Institusi Raja (SIRaj), di sini hari ini.

Sementara itu, Raja Dr. Nazrin melahirkan kebimbangan terhadap landskap politik negara yang mengalami perubahan sejak Pilihan Raya Umum Ke-12.

Baginda bertitah, landskap politik itu mengalami tsunami yang memperlihat negara semakin menuju kepada senario politik dua parti.

Titah baginda, senario itu sekiranya berlangsung secara tertib, meluhurkan Perlembagaan Persekutuan, mendaulatkan undang-undang dilihat berpotensi memberi impak positif.

“Tetapi kelihatan kaedah menuju ke arah senario itu bagai mencetus gelombang perpecahan yang ombaknya semakin menghempas minda rakyat.

“Rakyat kelihatan semakin terpisah sehingga benteng perpaduan semakin retak, malah lebih membimbangkan jika keretakan itu tercetus atas nama agama dan kaum,” titah baginda.

Dalam pada itu, Raja Dr. Nazrin bertitah, Islam adalah agama yang memiliki benteng perlindungan dan taraf keistimewaan mutlak dalam Perlembagaan Persekutuan.

Titah baginda, Perkara 3 (1) Perlembagaan yang diperlengkap dan diperkukuh dengan peruntukan lain telah memartabat Islam sebagai agama Persekutuan.

 


Comments
Loading...