Kepupusan Budaya Kritikal, Penularan ‘Kaki Penipu’ dan Revolusi Minda


http://secebiswaras.files.wordpress.com/2012/09/profile1.jpg 

Tradisi dan budaya masyarakat, terutamanya bangsa Melayu, sedikit sebanyak menyumbang kepada kepupusan budaya kritikal ini. Masyarakat Melayu dilihat sensitif kepada teguran. Kritikan akan dilihat sebagai serangan peribadi dan bukannya sebagai proses penyelesaian masalah. 

Secebis Kewarasan 

Negara ini sedang mengalami sindrom kelesuan pemikiran yang kronik. Punca utama masalah ini adalah budaya kritikal yang semakin pupus. Hasilnya – sebuah masyarakat yang ketandusan idea dan wawasan. Lihat sahaja kualiti graduan, kualiti penerbitan bahan bacaan dan kualiti kajian serta rumusan ahli-ahli akademik; semuanya sederhana sahaja atau tidak berkualiti. Aktiviti seni dan kebudayaan begitu rendah nilainya hingga tepu dengan produksi-produksi yang bertunjangkan glamer dan populariti . Kualiti kehidupan dan pertumbuhan ekonomi dilihat merudum. Kesan yang paling parah adalah penguatkuasaan undang-undang dan kepimpinan negara yang semakin bobrok.

Punca

Asas kelesuan pemikiran ini adalah kelemahan sistem pendidikan. Budaya pendidikan kita hanya mementingkan fakta. Pelajar diasuh untuk menghafal fakta dan menghasilkan semula fakta-fakta tersebut diwaktu peperiksaan. Hasilnya – penghafal-penghafal cemerlang, tetapi lemah dari sudut aplikasi, analisa kritikal dan penyelesaian masalah (problem solving). Pemikiran mereka lesu apabila berhadapan dengan isu-isu mencabar. Pendidikan begini bukanlah pendidikan dalam erti kata sebenar. Ia hanyalah latihan yang menghasilkan manusia yang tumpul dan seragam, bukannya pemikir-pemikir yang kritikal dan bernas.

Di institusi-institusi pengajian tinggi, pemikiran kritikal dan kebebasan bersuara dikongkong. Pelajar yang mempunyai idea-idea segar dan melihat sesuatu masalah melalui perspektif berbeza dari pensyarahnya akan dilihat sebagai pemberontak atau ‘rebel’. Mereka akan di ‘mark’ atau di’cop’, dan kerana itu, pembelajaran mereka akan dirumitkan dengan peraturan-peraturan yang selalunya diada-adakan oleh pensyarah tersebut. Siswa-siswi lain akan melihat ini sebagai ‘pengajaran’ dan mengambil langkah-langkah selamat, iaitu menurut sahaja apa yang diajar dan segala arahan tanpa berfikir. Tidak hairanlah jika hasil kajian dan kertas kerja mereka seperti disalin bulat-bulat dari buku teks dan nota kuliah.

Pensyarah-pensyarah dan professor-professor di universiti-universiti tempatan pula adalah mereka yang malas dan tumpul, dan hanya mahu bergaya dan dihormati mengikut gelaran-gelaran mereka. Untuk meraih hormat pelajar-pelajar, mereka akan berlagak tegas dan menghukum dengan keras. Kebanyakkan mereka akan mengenakan pakaian berjenama dan bertutur bahasa Inggeris ber ‘slang’, walaupun tatabahasa mereka carca-merba. Semua ini bagi menutup kekurangan dari segi kebolehan dan pencapaian. Inilah definisi ‘professor kangkung’, yang pernah dipopularkan of Prof. Engku Aziz suatu ketika dahulu. Kelakuan begini bukan sahaja merencat penghasilan graduan yang berkualiti, malah ia menghasilkan ‘produk-produk’ yang menyerupai mereka. Kata pepatah, ‘jika guru buang air kecil berdiri, anak murid buang air besar berlari!’.

Seterusnya, budaya penulisan di negara kita juga sudah hilang taringnya. Akhbar-akhbar bukan lagi pemacu pemikiran masyarakat seperti dahulu. Keutamaan berita bergantung kepada tahap ke-’sensasi’-annya. Berita perceraian, kes rogol, kes tangkap basah dan seumpamanya menjadi tajuk-tajuk utama akhbar. Selain dari itu, propaganda-propaganda politik mengisi hampir keseluruhan akhbar. Kolum-kolum pula dilihat tumpul dan tidak lagi menguja atau mencabar minda pembaca. Kolum-kolum akhbar bukan lagi wacana pemikir-pemikir negara seperti dahulu. Penulisan yang kritikal dan progresif akan ditapis, dan jika tidak disenangi kerajaan, penulis dan kemungkinan editornya sekali akan dikenakan tindakan undang-undang atau dibuang kerja.

Budaya penapisan (censorship) tersebut membuatkan penulis dan penerbit buku mengambil langkah-langkah ‘berwaspada’. Mereka dengan sendiri menapis penulisan dan penerbitan (self-censorship). Budaya takut untuk bersuara ini akhirnya menjelmakan buku-buku yang lesu untuk bacaan masyarakat. Buku-buku sosio-politik sedia ada, majoritinya adalah sekadar himpunan penulisan dari kolum-kolum akhbar yang sudah dibincangkan kelesuannya. Penerbit-penerbit juga hanya berminat menerbitkan buku-buku asas agama dan novel-novel remaja. Bagi mereka, penerbitan buku-buku progresif dan kritikal akan merugikan disebabkan tindakan undang-undang yang mungkin dikenakan oleh pihak kerajaan.

Read more at: http://secebiswaras.wordpress.com/2013/04/11/kepupusan-budaya-kritikal-penularan-kaki-penipu-dan-revolusi-minda/ 

 



Comments
Loading...