PAS tetap bertanding DUN Sg Acheh


Saya bawa balik mandat yang telah diputuskan oleh PAS Pusat selepas perbincangan antara tiga parti komponen Pakatan Rakyat, kata Salleh Man. 

(Bernama) – PAS Pulau Pinang pelik dengan tindakan  Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri yang bertindak mengumumkan calon PKR mewakili Pakatan Rakyat bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Acheh, Nibong Tebal dekat sini, sedangkan mereka telah bersetuju PAS bertanding di kerusi tersebut.

Pesuruhjaya PAS negeri Datuk Mohd Salleh Man berkata tindakan Pengerusi PKR negeri, Datuk Mansor Othman mengumumkan perkara itu dilihat seolah-olah membelakangi keputusan Pakatan di peringkat pusat yang diputuskan dua hari lepas.

“Saya bawa balik mandat yang telah diputuskan oleh PAS Pusat selepas perbincangan antara tiga parti komponen Pakatan, iaitu kerusi Sungai Acheh adalah milik PAS.

“Jadi keputusan PAS adalah muktamad bahawa kami akan bertanding di Sungai Acheh dan setakat ini tiada sebarang perbincangan dengan PKR negeri kerana keputusan telah dibuat (perbincangan peringkat pusat),” katanya kepada pemberita selepas majlis pengisytiharan nama-nama calon PAS Pulau Pinang di Pejabat PAS, Pongsu Seribu, di sini malam tadi.

PAS meletakkan Ketua Dewan Pemuda PAS negeri Yusni Md Piah untuk bertanding di kerusi DUN Sungai Acheh yang sebelum ini diwakili calon PKR Azhar Ahamad yang kalah menentang calon Barisan Nasional Datuk Mahmud Zakaria pada pilihan raya umum ke-12.

Mohd Salleh mengumumkan PAS akan bertanding di enam kerusi DUN dan dua kerusi Parlimen, dengan satu pertambahan kerusi DUN di Sungai Acheh pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Pada Selasa, Mansor dalam kenyataan mengumumkan calon PKR Badrul Hisham Shaharin yang lebih dikenali sebagai Cikgu Bard akan bertanding di DUN itu pada PRU13.

Sungai Acheh adalah satu daripada tiga kerusi DUN di bawah Parlimen Nibong Tebal yang dianggap sebagai kerusi tradisi PAS, namun beralih tangan kepada PKR dalam PRU 2008.

Mohd Salleh berkata beliau juga hairan bagaimana Mansor boleh mengumumkan nama calon PKR bagi DUN berkenaan sedangkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya mengumumkan calon parti itu di peringkat Parlimen sahaja.

Beliau turut bertegas hanya PAS yang akan bertanding di DUN Sungai Acheh dan berharap PKR dan DAP dapat memberi sokongan kepada calon PAS yang akan bertanding.

Kepada soalan sama ada pertindihan kerusi yang timbul itu disebabkan kepincangan dalam kalangan Pakatan di Pulau Pinang, Mohd Salleh menafikannya dan menganggap itu perkara biasa dan bukan sesuatu yang mustahil.

“Tidak jadi satu benda yang pelik dan mustahil (pertindihan kerusi). Kita tunggu pada hari penamaan calon, siapa yang sebenarnya menjadi calon di situ (DUN Sungai Acheh), tetapi yang penting PAS akan tetap bertanding di Sungai Acheh bagi pihak Pakatan,” katanya.

 



Comments
Loading...