Sampai bilakah bantuan jenama 1Malaysia akan diberi?


http://english.cpiasia.net/images/2013/br1m-ppl.jpg 

Berdasarkan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah Jabatan Perangkaan 2009/10, sasaran asal penerima BR1M adalah 3.4 juta isi rumah tetapi bilangan sebenar penerima adalah lebih daripada 4.17 juta isi rumah, yang merupakan 22.91% lebih tinggi. Ini tidak sepatutnya terjadi kerana pendapatan isi rumah telah meningkat. Bukankah begitu? 

Azmi Anuar, CPI 

Rakyat Malaysia pasti berbangga apabila membaca laporan bahawa pendapatan isi rumah bulanan purata di Malaysia bertambah dari RM4,025 ke RM5,000 iaitu peningkatan sebanyak 7.2 peratus dari 2009 sehingga 2012.

Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah (PPIR) 2012 juga menunjukkan bahawa kadar kemiskinan telah berkurangan daripada 3.8 peratus pada 2009 kepada 1.7 peratus pada 2012 manakala isi rumah miskin berkurangan 52.7 peratus daripada 228,400 kepada 108,000.

Apakah kemungkinan pendapatan isi rumah terus meningkat pada masa hadapan? Soalan ini kerap bermain di kepala orang ramai yang asyik merungut tentang kesulitan hidup mereka sehari-hari.

Kita boleh imbas kembali rekod pencapaian negara setakat ini. Kerajaan telahpun memperkenalkan pelbagai insiatif yang bertujuan memastikan negara mencapai matlamat menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) diperkenalkan pada 2010 serta 2011 dan diwujudkan bersama-sama Program Transformasi Politik dan Program Transformasi Sosial yang membentuk Dasar Transformasi Nasional.

Apa yang dikatakan dalam akhbar The Star bahawa Malaysia berada di landasan yang betul menuju ke arah status negara berpendapatan tinggi harus direnung bersama. Segala statistik kejayaan memang mudah dibentangkan kepada khalayak ramai tetapi pada masa yang sama perlu juga dilihat perubahan daripada sudut pandang yang lebih meluas.

Masalah-masalah utama negara

Pendekatan seimbang yang menggabungkan pendapatan tinggi dengan mengekalkan pertumbuhan tersebut dan yang merangkumi semua lapisan masyarakat itulah yang akan memberi kita pandangan yang lebih bererti tentang pembangunan. Matlamat utama yang mesti ditekankan ialah peningkatan kualiti hidup masyarakat.

Tidak dinafikan masih banyak rancangan yang belum mencapai matlamatnya. Di antara rancangan pokok yang masih perlu diambil perhatian berat ialah di dalam bidang pendidikan, membasmi gejala rasuah dan menangani kos sara hidup yang semakin meningkat. Kerajaan dan rakyat tidak boleh leka dengan kejayaan yang dicapai kerana usaha yang berterusan diperlukan untuk terus maju ke hadapan.

Negara-negara lain juga berkejar-kejaran mencapai status negara maju dan Malaysia jika tidak berhati-hati akan ketinggalan. Perbandingan dengan negara-negara yang telah mencapai kejayaan dari segi ekonomi seperti Korea Selatan mungkin tidak dipersetujui oleh sesetengah pemerhati tetapi pasti tetap boleh dijadikan teladan.

Read more at: http://english.cpiasia.net/index.php?option=com_content&view=article&id=2513:sampai-bilakah-bantuan-jenama-1malaysia-akan-diberi&catid=234:azmi-anuar&Itemid=193 

 



Comments
Loading...