BN, PAS dan PKR berebut ‘Mufti Perlis’ untuk PRU13


Md Izwan dan Mohd Farhan Darwis, The Malaysian Insider

PAS dan PKR berlumba untuk merekrut Mufti Perlis Dr Juanda Jaya untuk bertanding di atas tiket mereka dalam Pilihan Raya 2013 akan datang, akan tetapi ulama tersebut turut memikirkan untuk menyertai Barisan Nasional (BN), mencerminkan kepentingan undi golongan agama konservatif.

The Malaysian Insider difahamkan, mufti yang lantang tersebut telah berjumpa dengan beberapa personaliti di negeri kelahirannya Sarawak baru-baru ini, termasuk pemimpin politik dan agama, mendapatkan nasihat untuk membuat pilihan.

“Beliau baru sahaja pulang dari Sarawak. Ia bagi membincangkan dengan sahabat rapat dan pandangan orang-orang senior dengan beliau,” kata sumber kepada The Malaysian Insider apabila dihubungi semalam.

Di laman sosial Twitter Sabtu lalu, Juanda memuat naik gambar pertemuannya dengan Tun Abdul Rahman Ya’kub, pakcik kepada Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Beliau juga mendedahkan pertemuannya dengan Taib dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Jumaat lalu untuk mendengar pandangan kedua-dua pemimpin itu mengenai “arah tuju negara”.

Akan tetapi sumber memberitahu Juanda masih memikirkan mengenai perkara ini dan tidak akan membuat keputusan terburu-buru.

“Tapi buat masa ini, beliau masih dalam analisis dan pemerhatian yang berterusan. Kena nilai tempat terbaik untuk buat sumbangan secara berkesan,” tambah sumber tersebut.

Sumber tersebut turut mengesahkan PAS dan PKR bersaing hebat untuk mendapatkan keahlian Juanda, satu petanda agama memainkan peranan penting dalam Pilihan Raya 2013.

“PAS dan PKR memang push beliau (Juanda) sekarang ini untuk bagi persetujuan,” kata sumber sebelum  menambah Juanda kini berada dalam “peringkat akhir” sebelum mendedahkan pilihannya.

Jika Juanda menyertai politik, tambah sumber tersebut, beliau akan mencipta sejarah sebagai Mufti pertama yang bertanding pilihan raya.

“Tetapi lanskap politik negara telah berubah. Parti yang menawarkan senarai calon terbaik akan mempengaruhi mood pengundian,” kata sumber lagi.

Cakap-cakap tentang kemungkinan penyertaan Juanda dalam politik termasuk juga dengan rakannya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang dikatakan akan menyertai pilihan raya akan datang.

Sebagai tokoh agama yang popular dan mempunyai pengaruh besar, kedua-duanya dilihat sebagai aset kepada BN dan PR, dalam perlumbaan untuk mendapatkan undi Melayu, kelompok terbesar dalam Malaysia yang berbilang kaum.

Menurut The Straits Times (ST) Singapura semalam, Juanda mengesahkan minatnya untuk menyertai politik, mengatakan perubahan lanskap memerlukan pemimpin seperti dirinya untuk membuat polisi.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...