Pembangkang tidak dibenarkan ceramah di Felda
Muda Mohd Noor, FMT
Biro Felda dan Orang Asal PKR mendakwa Felda telah mengeluarkan arahan bahawa pemimpin pembangkang tidak dibenarkan lagi mengadakan program ceramah di kawasan tanah peneroka.
Pengerusi biro, Suhaimi Said berkata, bagi negeri Pahang arahan itu dikeluarkan di Rompin kira-kira seminggu lalu.
“Di Pahang ia telah berkuatkuasa di beberapa tempat seperti Rompin dan Jengka 22 serta Jengka 23.
“Arahan ini datang dari ibu pejabat Felda di Kuala Lumpur.
“Tetapi kami tidak mahu mempedulikan arahan itu. Kami telah mengadakan ceramah di sebuah Felda di Rompin malam tadi tetapi tidak ada kejadian buruk berlaku,” tambah Suhaimi.
Bagaimanapun, ketua cabang PKR Kuala Krau itu mendakwa arahan itu tidak membabitkan Umno.
Ia mungkin ada kaitan dengan konvoi Oren Pahang anjuran Persatuan Anak-anak Peneroka Felda (Anak) di negeri itu minggu lalu.
`Janji pilihanraya’
Sementara itu dalam perkembangan lain, Suhaimi mengalu-alukan sebarang usaha untuk membina rumah-rumah untuk generasi kedua Felda adalah janji pilihanraya.
Bagaimanapun, katanya pihak berwajib perlu memastikan projek perumahan itu sampai kepada kumpulan sasaran iaitu anak-anak peneroka.
Beliau mendakwa beberapa projek perumahan sebelum ini hanya memberi manfaat kepada anak pengurus dan kakitangan Felda.
“Ini janji pilihanraya. Rumah yang dibuat itu banyak dinikmati oleh anak pegawai Felda dan golongan bukan peneroka.
“Ini berlaku di Felda Mempaga dan Felda Lepar dekat Bentong, Pahang,” tambahnya.
Aktivis masyarakat itu berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan bahawa sebuah syarikat swasta telah ditawarkan kontrak untuk membina rumah bagi generasi kedua warga Felda di seluruh negara.
Syarikat tersebut dikatakan akan bekerjasama dengan KPF Holding yang akan menyediakan dana bagi projek pembinaan rumah berkenaan.
Bagaimanapun, menurut sumber ia masih di peringkat perbincangan dan belum dibawa dalam mesyuarat KPF untuk dimuktamadkan.