Istilah ‘God’ dalam Bible BM perlu diganti dengan Tuhan, bukan Allah
PAS melihat isu penggunaan nama Allah di dalam terjemahan Bible dalam BM tidak mencerminkan maksud sebenar dari teks asal.
(FMT) – PAS berpendapat menggunakan nama Allah dalam terjemahan Bible Bahasa Melayu tidak wajar dan parti itu berpendirian istilah ‘God’ digantikan dengan Tuhan dan bukannya Allah untuk mencerminkan maksud sebenar daripada teks asal.
Dalam satu kenyataan media hari ini, Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, memandangkan Bible Bahasa Melayu adalah terjemahan dari teks asal bahasa Inggeris, maka sewajarnya istilah God tidak bermaksud Allah, kerana terjemahan tepat ialah Tuhan.
Bahkan di kalangan masyarakat Barat pun mereka tidak menggunakan nama Allah bagi merujuk kepada God sama ada dalam pertuturan, penulisan atau filem. Perkataan yang sering digunakan ialah ‘Lord’.
PAS juga melihat isu penggunaan nama Allah di dalam terjemahan Bible dalam Bahasa Malaysia tidak mencerminkan maksud sebenar dari teks asal serta mengelirukan pelbagai pihak.
Menurut Tuan Ibrahim lagi, cadangan tersebut juga telah mengundang pelbagai reaksi di kalangan orang Islam dan penganut Kristian.
Katanya, menterjemahkan God dengan Allah akan mengelirukan penganut Kristian dan menimbulkan rasa kurang senang di kalangan umat Islam serta boleh mengelirukan orang Islam.
“Walaupun penggunaannya tidak bertentangan dengan tradisi ilmu dan budaya di kalangan ahli kitab (Yahudi dan Nasara), tetapi keluar dari khilaf atau mengelak berlakunya kekeliruan dan polemik adalah jalan terbaik,” katanya lagi.
Tuan Ibrahim berkata, bagi umat Islam, nama Allah merupakan nama yang khusus yang mesti dipelihara kesuciannya.
Katanya, a tidak boleh dibuang merata tempat atau digunakan nama tersebut pada tempat yang tidak layak baginya seperti menyamakan dengan makhluk, bersifat dengan sifat makhluk, seperti menganggap ia ada anak, isteri, makan, tidur dan berjalan sebagaimana makhluk.
Beliau berkata, ada perkataan yang sensitif bagi sesetengah agama, seperti kalimah Dua Shahadah dan Allah, tidak boleh disebut secara sewenang-wenangnya dalam konteks yang tidak tepat kerana ia boleh menimbulkan kemarahan dan ketidaksenangan yang tidak perlu dalam masyarakat majmuk di negara kita dan situasi negara masa kini.