Hudud buat MCA hilang akal
Takut benar Soi Lek dengan hudud sehinggakan beliau mengugut untuk partinya keluar BN jika hukum hudud di laksanakan.
Zainal Abidin Nor, FMT
MCA seperti hilang akal apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemelah Dato’ Ayub Rahmat menyarankan agar Johor menjadi negeri pertama melaksanakan hukum hudud di Malaysia.
Presidennya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menjadi tidak tentu arah, meracau dan tidak dapat berdiri dengan betul seperti orang mabuk dan kurang siuman.
Soi Lek bertambah resah dan gelisah apabila Ayub menyatakan hudud yang dicadangkan itu hendaklah meliputi semua kaum di Johor berbanding dengan Kelantan yang hanya mahu melaksanakan hukum itu ke atas masyarakat Islam sahaja.
Maka tidak hairanlah setiap kali timbul isu hudud, Soi Lek cepat-cepat mencantas idea tersebut. Takut benar Soi Lek dengan hudud sehinggakan beliau mengugut untuk partinya keluar Barisan Nasional (BN) jika hukum hudud dilaksanakan.
Orang yang tidak bersalah dan tidak melakukan apa-apa kesalahan tidak perlu takut dengan hudud tetapi orang seperti Soi Lek yang pernah terlibat dengan salah laku seks sudah tentu merasa takut.
Namun penentangan keras Soi Lek terhadap hukum hudud mungkin dapat diterima kerana beliau sendiri mengaku tentang kesalahannya melakukan hubungan seks dengan seorang wanita di sebuah hotel di Johor pada tahun 2008.
Umno takut kepada MCA
Tetapi bagaimana pula sikap para pemimpin Umno yang lain tentang cadangan rakan mereka sendiri mengenai pelaksanaan hukum hudud ini? Kenapa tidak bersuara, adakah mereka takut kepada MCA?
Umno lebih takut kepada MCA berbanding takut kepada Allah swt. Atau adakah Umno menganggap undang-undang sivil lebih ‘supreme’ dari undang-undang hudud ciptaan Allah?
Dengan menganggap seseorang atau benda lain atau suatu konsep sebagai wujud yang setara atau lebih tinggi daripada Allah merupakan satu cabang dari syirik.
Allah menyebutkan dalam Al Quran bahawa dosa syirik tidak akan diampuni. Allah tidak mengampuni dosa syirik tetapi Dia mengampuni dosa selain itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya.
Maksud firman Allah dalam ayat 48 Surah An-Nisaa’: Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni (dosa) kerana mempersekutukannya (syirik) dan Dia mengampuni apa (dosa) selain (syirik) itu bagi sesiapa yang Dia kehendaki. Barangsiapa mempersekutukan Allah maka sungguh dia telah berbuat dosa yang besar.”
Justeru kita ingin bertanya adakah pemimpin Umno juga sudah hilang akal dan tidak dapat berfikir secara waras berhubung cadangan Ayub yang dikemukakan dalam Dewan Undangan Negeri pada 20 Jun lalu?
Kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Johor, Dato’ Zainal Abidin Osman sedikit sebanyak memberi gambaran tentang pendirian Umno tentang hudud.
Beliau menyifatkan apa yang diungkapkan oleh Ayub itu adalah satu cadangan dan tidak pernah dibincang di peringkat parti (Umno).
Berdasarkan kenyataan ini juga jelas Umno tidak mempunyai hasrat untuk melaksanakan hudud tetapi kenapa pemimpin Umno yang juga mengaku beragama Islam enggan dan takut melaksanakan hudud.
Barangkali hukum hudud lebih adil dan saksama tanpa mengenal darjat dan kedudukan berbanding dengan undang-undang sivil yang mudah dimanipulasi untuk menjaga kepentingan mereka seperti dalam penciptaan kes liwat dan video lucah.
PAS sokong
Sikap PAS bila berdepan dengan isu ini adalah jelas. Saranan Ayub itu disambut baik oleh Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengucapkan tahniah dan mengalu-alukan pelaksanaannya.
“Biar Johor menjadi negeri pertama melaksanakan hudud dan insya’Allah Kelantan akan menyusul kemudian,” kata Nik Aziz sambil menambah, pemimpin Umno itu mempunyai keberanian untuk mencadangkan perkara ini.
Bagaimana pula sikap badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang mendabik dada kononnya merekalah pejuang sebenar untuk menjaga kesucian agama Islam.
Kenapa Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang memperjuangkan nasib bangsa Melayu dan mahu mendaulatkan Islam tidak menyuarakan bantahan terhadap Soi Lek?
Kenapa Jalur Tiga (Jati) yang mempunyai moto dan dasar perjuangan IMR (Islam, Melayu dan Raja) berdiam diri apabila Soi Lek mengeluarkan kenyataan yang disifatkan sebagai menghina Islam itu.
Ada banyak lagi NGO Islam yang memperjuangkan isu murtad dan menentang aktiviti LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender) tetapi apabila berdepan isu hudud menjadi dayus dan mandul.