Anwar: Mahathir takut saya ‘rampas’ harta dia


Katanya, beliau bukan benci, nak lawan sebab dia kaya tapi tak adil sebab rakyat lain ditindas.

(FMT) – Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas kenyataan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad yang mahu beliau segera bersara daripada politik.

Anwar berkata, kenyataan Dr Mahathir itu sebaliknya menunjukkan beliau bimbang kehilangan pegangan syarikat-syarikat miliknya dan kroni yang sekian lama menguasai ekonomi negara termasuk Esso Malaysia (kini Petron Malaysia) sekiranya Putrajaya ditadbir Pakatan Rakyat.

“Dia (Dr Mahathir) takut saya rampas harta dia dan anak-anak dia.

“Saya bukan benci, nak lawan sebab dia kaya tapi tak adil sebab rakyat lain ditindas.

“Ini negeri bapa Umno atau rakyat punya?” katanya di hadapan kira-kira 3,000 hadirin yang membanjiri padang Kampung Selayang Indah di sini malam tadi.

Katanya, Dr Mahathir tidak lagi perlu menghalangnya sekalipun beliau memegang jawatan Perdana Menteri kelak.

“Saya tak kacau dia…yang kena pukul saya, yang masuk penjara saya, yang kena bogel pun saya. Sudahlah, saya dah maafkan dia,” katanya.

Dr Mahathir semalam dilaporkan berkata hasrat untuk bersara itu cuma retorik politik sahaja dan berpendapat Anwar perlu tidak perlu melengahkannya lagi.

Beliau turut mencadangkan supaya diwujudkan jawatan Perdana Menteri ‘terhormat’ selama lima hari untuk diisi Anwar bagi memenuhi impian beliau sebelum bersara.

Perdana Menteri ke 7

Disambut kehadirannya sebagai Perdana Menteri ke-7 di Ceramah Perdana Merdeka Rakyat, Ketua Umum PKR itu juga berjanji tidak akan mengkhianati kepercayaan yang diberikan rakyat selama ini.

“(Kaum) Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban saya tak mahu khianati sebab saya tahu apa erti susah, saya tahu apa erti sakit, dihina.

“Kerana semasa saya jatuh di bawah rakyatlah yang tolong saya bangkit,” katanya.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...