PAS sokong Bersih 4


Timbalan Presiden PAS mendakwa keganasan polis meningkat dalam perhimpunan Bersih 3 

(Free Malaysia Today)- PAS mendakwa keganasan polis meningkat dalam Bersih 3 dan mengumumkan parti itu menyokong mana-mana NGO yang mahu mengadakan Bersih 4.

“PAS akan menyokong mana-mana NGO yang mahu menganjurkan Bersih 4,” Mohamad Sabu memberitahu sidang media di sini

“Keganasan polis terhadap rakyatnya sendiri kali ini meningkat berbanding Bersih 2,”  katanya.

Beberapa orang  tampil menceritakan kejadian mereka dikasari anggota polis dalam kejadian semalam.

Peguam-peguam PAS  berkata, pihaknya menerima 152 aduan dari orang ramai mengenai keganasan polis dalam perhimpunan Bersih.

Mohamad mendakwa peserta perhimpunan tidak melakukan provokasi serta sebarang percubaan menceroboh Dataran Merdeka sepanjang perhimpunan tersebut.

Mohamad memberi alasan beliau dan aktivis Hishamuddin Rais telah memberi taklimat kepada peserta pada malam Sabtu supaya tidak menceroboh Dataran Merdeka.

Mahkamah mengarahkan Dataran Merdeka menjadi kawasan larangan kepada perhimpunan Bersih.

Beliau menyalahkan tindakan pihak dan individu yang memotong dawai pagar  Dataran Merdeka menjadi tidak mula keganasan tersebut.

`Ganas 3 jam

“Tindakan itu (memotong pagar Dataran Merdeka) memberi peluang polis mengganas selama tiga jam.

“Mereka memukul orang (peserta) yang sedang minum air di kedai,” tambahnya.

Mohamad meminta polis menyiasat pihak yang  memotong pagar Dataran Merdeka dan mendakwa mereka.

“Saya minta siasat dan mendakwa mereka mahkamah,” kata Timbalan Presiden PAS itu.

Menguatkan dakwaan itu, Ketua Muslimah PAS Wilayah Persekutuan, Nuridah Salleh berkata beliau melihat sendiri orang yang memotong pagar tersebut.

“Kejadian berlaku di depan mata saya jam 3 petang. Orang di sekeliling saya kata, polis yang buka. Lepas itu saya tengok polis lari.

“Saya sangat yakin bukan peserta yang memotong pagar,” katanya.

PAS akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Polis dan kerajaan berhubung keganasan polis itu.

“Mereka yang mahu membuat aduan terhadap keganasan polis dalam perhimpunan Bersih 3 boleh berhubung dengan pihak kami.

“Kami menyediakan 70 peguam untuk membantu mereka,” kata  Ketua Peguam PAS Asmuni Awi dalam sidang media tersebut.

 

 



Comments
Loading...