120 NGO India mahu jawatan TPM, KM dan menteri


Pakatan politik yang dapat memenuhi permintaan ini dijangka mendapat undi padu masyarakat India. 

(Free Malaysia Today) – Sekumpulan 120 NGO India mahu seorang Timbalan Perdana Menteri, seorang Ketua Menteri dan empat menteri dilantik mewakili kepentingan masyarakat India.

NGO tersebut diketuai Badan Hak Asasi Kaum India Kebangsaan (NIAT) membuat ketetapan tersebut dalam  forum bertajuk Hak-hak Kaum India Malaysia – Pasca Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU 13) di Wisma Tun Sambanthan selama tiga jam petang semalam.

Tiga ketetapan tersebut merupakan sebahagian dari 11 ketetapan yang diluluskan semalam.

Pengerusi NIAT, Datuk Thasleem Mohamed Ibrahim berkata: “Kalau Pulau Pinang boleh beri jawatan Timbalan Ketua Menteri saya tidak dapat melihat mengapa permintaan ini tidak boleh ditunaikan oleh BN atau Pakatan Rakyat.”

Mengenai jawatan Ketua Menteri pula, beliau berkata pihaknya sedang melihat kemungkinan agar seorang India dilantik memegang jawatan itu  di Melaka.

Bendahara orang Tamil

“Semasa zaman pemerintahan Sultan Mahmud Shah, bendahara beliau seorang Tamil,” kata Thasleem merujuk kepada Bendahara Tun Ali.

Permintaan empat menteri pula menurutnya perlu bersesuaian dengan kadar penduduk masyarakat India.

Pada masa sekarang, masyarakat India diwakili oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Masyarakat India Datuk Seri G Palanivel dan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri S Subramaniam.

Selain itu, NIAT juga mahukan BN dan Pakatan Rakyat mencalonkan sekurang-kurangnya seorang calon keturunan India di kerusi parlimen di  Kuala Lumpur.

Di dalam pilihan raya umum ke 12, tiada calon India bertanding di Kuala Lumpur.

Ramai calon India

Kumpulan ini juga mahukan lebih ramai calon pilihan raya dari masyarakat India diketengahkan di dalam PRU 13.

Selain itu, NIAT juga mahu 11 ketetapan ini dimasukkan sebahagian daripada manifesto bagi pakatan politik yang bertanding di dalam PRU 13.

“Pakatan yang menjadikan ketetapan ini sebagai manifesto politik mereka dan seterusnya melunaskan permintaan ini akan mendapat undi masyarakat India,” ulas Thasleem. 

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...