Penggunaan dakwat kekal pilihan raya berkuat kuasa hari ini
(Utusan Malaysia) – Penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya umum berkuat kuasa hari ini setelah diwartakan pada 13 Feb lepas, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Yusof.
Beliau berkata, SPR kini membuat perancangan untuk menggunakan dakwat kekal itu pada pilihan raya umum ke-13 (PRU 13), bagaimanapun masih belum membuat pesanan untuk membelinya kerana dakwat ini hanya boleh digunakan dalam tempoh tiga bulan sahaja.
“Dakwat ini tidak boleh dipesan awal kerana boleh tahan tiga bulan, dan kekalnya akan hilang. Oleh itu SPR belum ‘order’ lagi,” katanya semasa diwawancara oleh hos Suhaimi Mohammad dalam program “Dialog” yang bertajuk “Daftar dan Undi” yang disiarkan secara langsung oleh RTM1 di sini malam semalam.
“Untuk ‘order’ (dakwat kekal) tidak lama, dua minggu sahaja. Maknanya dari segi persediaan kita dari segi kotak, botol, penutup botol, sudah dalam proses,” kata Abdul Aziz.
Beliau berkata, dakwat itu akan dipesan sebaik pembubaran Parlimen diumumkan. – BERNAMA