2 syarikat tempatan jual minyak sawit ke Israel
(FMT) – Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mendedahkan bahawa dua syarikat tempatan, Mewaholeo Industries Sdn Bhd dan IOI Croklan Sdn Bhd terlibat dalam penjualan minyak sawit terus dari Johor ke Israel.
“Kenyataan sebelum ini yang menyatakan kononnya Malaysia tidak mampu menghalang perdagangan terus Malaysia dan Israel kerana ia melibatkan syarikat asing yang melabur di Malaysia ialah bertujuan menipu dan mengelirukan,” kata pengasasnya Badrul Hisham Shaharin.
Ujar beliau, “sudahlah kenyataan tersebut menunjukkan kelemahan negara hanya kerana untuk menarik pelaburan asing maka kita gadaikan prinsip membela Palestin dan usaha pembebasan kiblat pertama umat Islam.
“Malang lebih dari itu kerajaan menyembunyikan urusan bahawa wujud juga perdagangan terus melibatkan syarikat tempatan,” kata beliau yang juga dikenali sebagai CheguBard dalam satu kenyataan media.
Justeru itu katanya, kerajaan BN diminta tampil memberikan penjelasan mengenai perkara ini dan rakyat harus membuka mata sikap hipokrasi kerajaan dalam perkara ini.
Sime Darby, Felda turut jual sawit ke Israel?
Chegu Bard menegaskan bahawa rakyat harus membuka mata dengan fakta ini kerana di depan rakyat tempatan kerajaan BN menuduh orang itu dan orang ini sebagai ‘agen Amerika’ dan sebagainya tetapi hakikat sebenarnya Malaysia terus menerus menjadi pembantu ekonomi Israel.
Semalam SAMM menghantar memorandum bantahan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri sertanya salinan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta pihak media untuk memberikan respon mengenai perkara ini.
Menurutnya, terbaru ialah dokumen di perolehi dari “Index Mundi” dan IMF yang cukup mudah dicari melalui internet.
“Link yang ini menunjukkan bagaimana penjualan minyak sawit Malaysia dalam matawang New Israeli Syeqel dan harga minyak sawit
Malaysia telah di senaraikan dalam futures trading (harga masa depan) sehingga Januari 2012 juga dalam New Israeli Sheqel.
“Tertera dengan jelas adalah nama Sime Darby dari Malaysia. Kini rakyat Malaysia harus mendapatkan penjelasan dari pihak Felda dan Sime Darby samada mereka terlibat dalam apa-apa penjualan minyak sawit Malaysia kepada Israel,” ujarnya.