Pakatan desak SPR batal daftar 42,000 pemilih ragu


(HARAKAH DAILY) – Pakatan Rakyat mendesak agar Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) membatalkan pendaftaran 42 ribu nama pemilih yang baharu kerana tidak didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada satu sidang media selepas mesyuarat Pakatan Rakyat di Ibu Pejabat PKR, di sini petang ini berkata, nama-nama tersebut telah menimbulkan keraguan apabila ia tiada maklumat di dalam JPN. Hadir sama ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

“Kita hari ini telah mengambil pendekatan berhubung status 42 ribu nama pendaftar baru yang telah dikenal pasti meragukan agar SPR menghapuskan segera nama-nama tersebut sebelum pilihan raya akan datang.

“Kebimbangan ini ditimbulkan kerana setelah pemeriksaan dilakukan di JPN kita dapati tiada maklumat diperolehi berhubung dengan nama-nama pemilih yang telah didaftarkan itu,” jelasnya.

 

Tambahnya lagi, penambahan daftar pemilih secara mendadak berlaku di Selangor, malah di Wilayah Persekutuan juga terdapat enam ratus pemilih yang telah didaftarkan di alamat yang sama.

“Kita menggesa agar semua pihak diberi tanggungjawab meneliti senarai daftar pemilih baru kerana kita tidak mahu wujud penipuan dalam daftar pemilih demi untuk memberi kemenangan kepada Barisan Nasional.

“SPR perlu telus dalam melakukan sesuatu tugas dan mereka tidak perlu tunduk kepada pihak lain,” katanya yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Anwar turut memberitahu, Pakatan Rakyat juga bersetuju agar satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi meneliti kembali status kewarganegaraan yang telah diberikan kepada pendatang asing.

“Kita mahu suruhanjaya diwujudkan segera bagi meneliti kembali hak kewarganegaraan yang diberikan kepada pendatang asing bagi menilai sama ada ia layak ataupun tidak.

“Penubuhan ini perlu kerana kita dapati terlalu banyak nama-nama yang meragui dan dalam masa yang sama kita tidak mahu sebagai agenda politik kerajaan Barisan Nasional maka negara ini mudah tergadai melalui pemberian status warganegara,” kata beliau lagi.

Ketua Umum PKR itu turut menekankan wakil Pakatan Rakyat di dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) akan terus mendesak PSC agar SPR lebih bersikap telus serta membatalkan senarai nama tersebut sebelum tibanya pilihan raya umum akan datang.



Comments
Loading...