Tiada kebebasan untuk fitnah


Nampaknya masih ramai yang keliru dan tidak dapat membezakan maksud kebebasan bersuara dan fitnah. Ramai penulis-penulis blog dewasa ini yang menganggap melemparkan fitnah itu sebahagian daripada kebebasan bersuara.

By Amin Iskandar

Baru-baru ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, menang dalam kes saman fitnahnya terhadap Utusan Malaysia.

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang mendapati akhbar milik Umno itu bersalah memfitnah Lim Guan Eng dalam sebuah berita yang bertajuk “Kebiadaban Guan Eng” yang diterbitkan pada 20 Disember 2010.

Mahkamah memerintahkan Utusan untuk membayar RM 250,000 kepada Guan Eng dan RM 25,000 lagi sebagai bayaran kos.

Kisah ahli politik dan saman mereka terhadap akhbar, blog atau ahli politik yang lain bukanlah sesuatu perkara baru di Malaysia.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah menyaman ramai pihak kerana mendakwa mereka memfitnah dirinya. Anwar pernah menyaman mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan Malaysia.

Anwar juga pernah menyaman ketua pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan ramai lagi.
Oleh kerana banyak saman dilakukan oleh pimpinan Pakatan Rakyat kepada golongan yang memfitnah mereka, persoalan ditimbulkan oleh sesetengah pihak, apakah tindakan saman menyaman ini bertentangan dengan prinsip demokrasi dan kebebasan bersuara?


Buku Jingga

 


Laman Suara Pakatan Rakyat (www.suarapakatanrakyat.com) pada 19 Disember lalu menimbulkan persoalan ini terhadap Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa yang kini sedang menyaman pemilik blog Ruang Bicara Faisal dan Kickdefella kerana didakwa memfitnah dirinya dalam penulisan mereka.
Naib presiden PAS itu menyaman sebanyak RM 500,000 kepada pemilik blog Ruang Bicara Faisal dan RM 5 juta kepada penggendali blog Kickdefella.
Menurut laman web tersebut, tindakan Husam menyaman kedua-dua penulis blog tersebut bercanggah dengan prinsip Buku Jingga yang mengatakan:
“Kebebasan rakyat untuk berkumpul dan menyatakan pandangan mereka juga disekat dari pelbagai arah; baik yang melibatkan rapat umum mahupun di laman internet. Ada ura-ura pentadbiran sedia ada mencari jalan untuk mengetatkan kawalan mereka terhadap internet, memandangkan ia satu-satunya jalan yang berkesan menyebarkan maklumat alternatif kepada rakyat.”
Persoalan seperti ini pernah juga dibangkitkan oleh sesetengah pihak satu ketika dahulu apabila Anwar dan Lim menyaman akhbar. Kata mereka, kebebasan bersuara belum terjamin jika Pakatan memerintah.
Penulis berkesempatan untuk menemuramah ringkas Husam melalui telefon untuk mendapatkan jawapan beliau mengenai kritikan laman web tersebut terhadapnya.
Menurut exco kanan tersebut, beliau bukanlah antidemokrasi atau kebebasan bersuara apatah lagi untuk mengkhianati prinsip Buku Jingga yang dipersetujui bersama oleh parti gabungan dalam Pakatan.
“Blogger atau penulis boleh menulis apa-apa sahaja kecuali fitnah. Jika berani memfitnah, mereka juga harus berani untuk berhadapan dengan tindakan yang bakal diambil,” katanya.
Menurut Husam lagi, beliau tidak mempunyai masalah untuk dikritik kerana beliau percaya kritikan itu baik bagi seseorang untuk memperbaiki dirinya. Yang beliau tentang adalah fitnah dan tohmahan.

“Dalam Islam sendiri, fitnah adalah satu dosa yang besar. Fitnah itu dosanya lebih besar dari membunuh. Islam memberi ruang kepada orang yang difitnah untuk membersihkan dirinya.

“Saman adalah salah satu kaedah untuk saya membersihkan diri. Sebagai seorang Muslim, maruah dan itegriti adalah sesuatu perkara yang penting”, kata Husam.

 

Read more at: http://www.aminiskandar.net/2011/12/tiada-kebebasan-untuk-fitnah.html

 



Comments
Loading...