Apa Anwar buat ketika dalam kabinet?
Bukankah ketika itu kesempatan terbaik untuk beliau memansuhkan akta-akta drakonian tersebut dan mengheret jerung- jerung yang menerima rasuah ke muka pengadilan?
Selain itu, keutamaan dasar Mahathir untuk menyelamatkan syarikat-syarikat kroni dengan menelan belanja berbillion ringgit akibat kemelesetan ekonomi ketika itu tidak dipersetujui oleh Anwar yang ketika itu Menteri Kewangan telah memburukan lagi hubungan mereka.
Nazli Ibrahim, Free Malaysia Today
Setelah 12 tahun Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari semua jawatan dari kerajaan dan Umno, pada 2009 lalu beliau bergiat semula dalam sepak terajang politik negara ini.
Jikalau dahulu, semasa di dalam kerajaan beliau menjalankan dasar-dasar kerajaan, berbeza dengan sekarang, beliau ialah ketua pakatan pembangkang yang disegani.
Kelantangan beliau mengkritik dasar-dasar kerajaan hari ini, khususnya terhadap rasuah, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) kadang kala menimbulkan persoalan, apa yang beliau lakukan semasa beliau berada di dalam kabinet?
Apabila berbicara mengenai hal ini, perkara yang sering tidak lepas dari persoalan ialah adakah Anwar memang benar-benar menentang rasuah yang semakin membarah dalam kerajaan, akta-akta yang menindas kebebasan bersuara – ISA, AUKU dan lain-lain akta yang seumpamanya.
Persoalan mengapa beliau tidak melakukannya semasa beliau berada di dalam kerajaan dahulu pasti dipersoalkan dan tentunya lebih kerap dimainkan oleh pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) dan kolumnis media-media kawalan kerajaan.
Bukankah ketika itu adalah kesempatan terbaik untuk beliau memansuhkan akta-akta drakonian tersebut dan mengheret jerung-jerung yang menerima rasuah ke muka pengadilan?
TPM era Mahathir paling mencabar
Umum mengetahui, menjadi seorang Timbalan Perdana Menteri (TPM) kepada Tun Dr Mahathir Mohamad berkuasa tidaklah semudah menjadi Timbalan Perdana Menteri kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Tun Razak dan tiga PM sebelumnya.
Bagi Abdullah Badawi memadai dengan hanya seorang timbalan berbanding Mahathir yang mempunyai sehingga empat orang Timbalan Perdana Menteri.
Malah kuasa pemutus keputusan penting oleh para menteri yang ada dari dahulu hinggalah hari ini juga tidaklah mutlak walaupun dalam bidang kuasa kementerian masing-masing.
Contohnya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Pelajaran tentunya tidak akan menarik semula pelaksanaan PPSMI jika tidak dipersetujui oleh Najib.
Begitu juga dengan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Menteri Dalam Negeri, tentunya tidak akan berani, walaupun sekadar menyebut pindaan ISA akan dikaji jika tiada lampu hijau dari Najib atau mungkin juga diilhamkan sendiri oleh Najib.
Sama juga dengan isu kenaikan harga gula, beras, petrol dan lain-lain. Walaupun menurut mereka, pada dasarnya, setiap keputusan yang dibuat telah dibincangkan dalam mesyuarat kabinet, namun kuasa veto Perdana Menteri adalah pemutus utama tidak dapat dinafikan.
Akhirnya, telunjuk 1Malaysia itulah juga akan dijadikan kiblat.
Apatah lagi menjadi timbalan kepada Mahathir, tentunya memerlukan seseorang yang sehaluan dengannya, seseorang yang mampu menari seirama dengan tariannya, tidak kira samada tindakan itu menguntungkan rakyat atau menguntungkan kroni.
Apa yang penting, harus bersedia mengungkapkan kata-kata ‘yes boss’. Perilaku seperti ini tentunya bertentangan dengan jiwa Anwar sendiri hinggalah mengundang pertengkaran demi pertengkaran antara kedua mereka.
Kejadian pertengkaran antara mereka ini diakui sendiri oleh mereka yang rapat dengan Anwar seperti Azmin Ali, Ezam Mohd Nor malah Mahathir sendiri turut pernah mengakuinya.
Pernah dalam beberapa ceramah politik oleh Ezam dan Azmin sekitar tahun 1999, mereka menceritakan bagaimana pada suatu hari,
Anwar keluar dari bilik PM dengan muka yang merah padam setelah bertengkar dengan Mahathir berkenaan isu penyelewengan yang dilakukan oleh Menteri Kabinet dan VIP Umno yang lainnya.
Sikap Mahathir yang melindungi perlakuan menyeleweng ini sama sekali tidak dapat diterima oleh Anwar.
Selain itu, keutamaan dasar Mahathir untuk menyelamatkan syarikat-syarikat kroni dengan menelan belanja berbillion ringgit akibat kemelesetan ekonomi ketika itu tidak dipersetujui oleh Anwar yang ketika itu Menteri Kewangan telah memburukan lagi hubungan mereka.