Beza Pas Dan UMNO?


Zaid Ibrahim

Rasa gembira dan puas hati selepas berkempen di Permatang Pasir bertukar menjadi gelisah dan penuh kebimbangan.

Dalam keadaan negara yang tak menentu di mana rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa, api perkauman dimainkan oleh UMNO dan media miliknya serta kes yang melibatkan kematian petugas Pakatan Rakyat, tiba-tiba YB Hassan Ali, Exco Selangor, mengeluarkan kenyataan pada hari membuang undi di Permatang Pasir bahawa orang-orang Islam yang didapati minum beer atau arak akan ditangkap oleh pegawai-pegawai Majlis dan Jabatan Agama yang akan diberi kuasa. Apa niat sebenar beliau? Nampak nya begitu yakin sekali ketua PAS ini dengan kekuatan mereka sekarang hinggakan sanggup mengambil risiko ini.

Saya kata risiko kerana tidak cukup dengan itu, Hassan Ali juga akan menangkap orang Islam yang berkerja di tempat minumam itu dijual atau ada kaitan secara langsung dengan penjualan itu. Mengikut laporan berita beliau menyatakan bahawa orang Islam yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, menyimpan atau membeli arak pula, jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-dua sekali.

Nampaknya ini akan melibatkan pekerja Melayu dalam hotel, bar, pub dan mana-mana tempat yang menjual beer atau arak seperti kedai runcit, kedai 7-Eleven dan banyak lagi. Drebar lori yang kerjanya mengangkat minuman haram itu juga mungkin dikenakan tindakan. Mungkin juga pegawai kastam yang menilai cukai barangan itu juga dikenakan tindakan.

Kalau kita ikut lojik YB itu, semua pegawai Perbendaharan dan Kementerian Keawangan juga bersalah kerana membenarkan beer dan minuman yang dianggap haram dijual di Malaysia, kerana ia membolehkan orang Islam membelinya. Saya tidak tahu bagaimana penguatkuasaan arahan seperti itu akan dilaksanakan tanpa kerumitan yang besar.

Saya juga hairan mengapa Hassan Ali ghairah mahu menangkap orang dan tidak pula mencadangkan perkara yang lebih mudah dilaksanakan. Sepatutnya semua beer dan minumam keras diharamkan sahaja di seluruh Selangor, barulah ada keadilan sejagat. Bukan ikan bilis saja jadi sasaran, malah orang elit pun tidak boleh atau selindung di sebalik undang-undang. Nanti bila PAS mengambil alih Putrajaya, boleh lah pula diharamkan beer dan minuman keras di seluruh negara. Ini samalah seperti cara kerajaan mengharamkan dadah di negara ini. Inilah saja cara kita boleh memastikan orang Islam tidak dimalukan di khalayak ramai apabila didapati bersalah seperti keadaannya sekarang ini. Cara-cara yang lain hanya akan menyusahkan orang yang tak ada kena-mengena dengan perbuatan itu iaitu minum minuman keras.

READ MORE HERE



Comments
Loading...