DUN Selangor lulus usul gantung Khir, empat ADUN BN


(Utusan Malaysia) – Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini meluluskan usul penggantungan Ketua Pembangkang Negeri, Datuk Seri Dr. Mohd Khir Toyo serta empat wakil rakyat Barisan Nasional (BN).

Kelulusan yang dibuat setelah usul tersebut mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas sebelum ia diumumkan oleh Timbalan Speaker DUN, Haniza Mohd. Talha pada pukul 3.07 petang ini.

Selain itu, usul tersebut yang dibentangkan oleh ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San turut dibahaskan oleh ADUN Seri Muda, Suhaimi Shafeie, ADUN Subang Jaya Hannah Yeoh, Amiruddin Shaari (Batu Caves), Ng Suee Lim (Sekinchan) dan ADUN Kajang, Lee Kim Sin.

Usul tersebut buat sebagai hukuman ke atas Mohd. Khir kerana dikatakan menghina DUN ekoran tidak hadir dalam sesi pendengaran awam yang dilakukan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) termasuklah mengkritik jawatan kuasa itu.

Malah tindakan yang sama juga turut melibatkan ADUN Hulu Bernam, Datuk Mohamed Idris Abu Bakar, Datuk Warno Dogol (Sabak), Mohd Isa Abu Kasim (Batang Kali) dan Datuk Marsum Paing (Dengkil) kerana mengkritik Selcat.

Ekoran keputusan DUN itu, Mohd. Khir digantung selama setahun manakala empat ADUN BN lain selama enam bulan. Malah semua elain serta kemudahan kelima-lima wakil rakyat itu turut dihentikan sepanjang tempoh pengantungan masing-masing.

Dalam pada itu, ADUN Sungai Panjang, Datuk Seri Dr. Khir Toyo akan menyerahkan tugasnya sebagai Ketua Pembangkang Negeri kepada timbalannya, Datuk Satim Diman sepanjang tempoh penggantungannya daripada menghadiri sidang DUN selama setahun bekuatkuasa hari ini.

Katanya, penyerahan tugas itu dilakukan bagi memastikan Barisan Nasional (BN) terus mainkan peranannya untuk menegur serta menasihati kerajaan negeri dalam melaksanakan pentadbiran di Selangor.

"Saya serah kepada Timbalan Ketua Pembangkang (Satim) untuk menjalankan untuk tugas sebagai Ketua Pembangkang sepanjang tempoh penggantungan ini.

"Walaupun keputusan penggantungan saya dan empat ADUN BN lain dibuat, ia tidak akan menghalang kita untuk terus menegur dan menasihati kerajaan negeri. Ini kerana, BN masih mempunyai 15 lagi ADUN yang tetap memainkan peranan itu," ," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Malah, beliau yakin bahawa keputusan DUN tersebut kerana perkara itu telahpun ditetapkan dalam perbincangan Jawatankuasa DUN (Pre-Council) sebelum ia dibahaskan dalam dewan hari ini," ujarnya.



Comments
Loading...