YB Toh Jangan Cakap Kosong!


(Buletin Online) – KUALA TERENGGANU –  Penduduk Kampung Cina Kuala Terengganu tidak puas hati dengan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Bandar, YB Toh Chin Yaw yang berlepas tangan dalam masalah yang mereka hadapi.

(Gambar – kerja-kerja 'double frontage' sedang pesat berjalan)

Mereka yang terlibat dengan pengambilan balik tanah kerajaan bagi kerja-kerja pembesaran jalan ‘double frontage’ di Pulau Warisan (belakang Kampung Cina) di sini, mendakwa tidak dipedulikan oleh ADUN tersebut.

Dalam keadaan mereka menghadapi masalah yang kritikal, wakil rakyat tersebut tidak muncul dan hanya membiarkan mereka berunding dengan pihak kontraktor sahaja.

Seorang penduduk, Encik Chong Wan Keh, 56, menuntut agar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar, Encik Toh Chin Yaw segera menunaikan ‘janji’ kepada penduduk terbabit dengan membahagikan borang-borang rumah.

“YB Toh (gambar atas), jangan cakap ‘kosong’ sahaja kami (penduduk) mahu ada surat ‘hitam-putih’ bila bahagi-bahagikan borang rumah kepada rakyat.

“Akan datang jika dia (Toh) dibuang kerja (tidak jadi wakil rakyat), dia (Adun Bandar) akan kata tidak tahu menahu pula,” ujarnya.

Menurutnya, penduduk terbabit kini tidak lena tidur dan berada dalam kebimbangan selagi tidak ada jalan penyelesaian dengan kerajaan negeri.

Beliau antara penduduk yang pernah melakukan baik pulih bangunan yang didiaminya mencecah RM180,000.

Katanya, tawaran sejumlah RM5,000 sebagai bayaran saguhati kepada penduduk agar berpindah tidak berbaloi.

Pesara guru, Encik Chua Boon Seng, 69, mendakwa keluarganya mendiami bangunan di Kampung Cina tersebut sejak lebih 70 tahun lalu.

Katanya, jika kerajaan tetap mahukan penduduk berpindah wajar diberikan tempat baru bagi menjalankan perniagaan masing-masing.

“Jika kita (penduduk) disuruh pindah tetapi tidak diberi tempat baru atau pampasan yang manasabah macam mana kami hendak pindah.

“Kami (penduduk) semua terpaksa tutup perniagaan yang menjadi sumber pendapatan keluarga selama ini,” tegasnya.

Beliau bersetuju jika kerajaan hanya mengambil sebahagian (belakang) dari kawasan berkenaan serta tidak mengganggu di bahagian hadapan premis perniagaannya. (Gambar bawah – deretan presmis yang akan dirobohkan)

Katanya, di bahagian hadapan penduduk terbabit hendak berniaga serta tempat mencari rezeki.

Menurutnya, kos yang pernah dibelanjakan bagi membaik-pulih bangunan yang didiami sejak puluhan tahun itu mencecah RM200,000.

Walaupun wakil-wakil kerajaan pernah turun dalam majlis dialog sebelum ini, namun kerajaan UMNO/BN tidak langsung menunjukkan rasa prihatin dan belas kasihan kepada nasib penduduk yang terbabit.

Toh yang turut sama ketika itu, telah dicanggah oleh seorang penduduk kerana sering mengulang-ulangkan ucapan ‘ini rumah haram, ini rumah haram’.

Sedangkan menurut penduduk terbabit, mereka tidak duduk secara haram kerana lesen menumpang sementara (TOL) pernah dikeluarkan oleh kerajaan negeri dan mereka membayar lesen tersebut.

Toh juga mengulangi ketidakcaknaan beliau terhadap masalah rakyatnya sendiri apabila menyanggah ADUN wakaf Mempelam yang cuba memperjuangkan nasib mereka yang teraniaya dalam sidang DUN baru-baru ini.

Selasa lalu, 28 April 2009, Selasa lalu, Toh tidak hadir semasa perbincangan diadakan diantara penduduk dengan wakil kontraktor berkenaan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

Buletinonline difahamkan, Toh sedang bercuti dan melancong ke luar negara.

 



Comments
Loading...