Skandal Skim Bagahak, Keadilan Buat Laporan Polis


 Oleh ‘Deep Throat’ Sabah

Hasrat melambung lebih 900 keluarga termiskin di Sabah untuk mendapat tanah pertanian telah tertunai apabila Kerajaan Berjaya-Barisan Nasional telah menubuhkan Skim Pekebun Kecil Bagahak pada 1983.

 Ada yang telah mengusahakan tanah berkenaan, ada yang menjual kepada pihak ketiga dan ada yang membiarkannya kosong kerana ketiadaan modal sehingga kumpulan 3P (penyangak, penyamun, perompak) melihat senario ini sebagai peluang membuat wang.

Kerakusan Kerajaan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang menumbangkan Kerajaan Berjaya pada 1985 gagal melestari hasrat Kerajaan Berjaya untuk melihat rakyat dapat membebaskan diri daripada kepompong kemiskinan yang merantai mereka selama ini sekalipun berpeluang memerintah Sabah selama 9 tahun.

Bagaikan pelaut yang tidak pernah melihat wanita selama lima tahun, tanah pertanian yang diluluskan kepada rakyat miskin telah dibalak sehingga gondol dan tidak membayar walau satu sen oleh syarikat yang didominasi oleh gurkha politik PBS melalui Selat Sepakat Sdn.Bhd.

Selat Sepakat yang mempunyai modal berbayar RM2 dimiliki oleh Tutik Garuda dan Basari Sarkun, telah melantik sebuah syarikat pembalak haram, syarikat Saibat Sdn.Bhd. untuk merompak kayu balak di tanah pertanian yang diperuntukkan kepada 900 keluarga termiskin dengan janji untuk membayar RM200 seekar.

Namun sehinggalah balak dijual dan ladang telah dibuka, tidak ada satu sen pun dibayar kepada 900 keluarga termiskin berkenaan.

Belumpun reda kesengsaraan mereka yang terpaksa turun naik ke pejabat Saibat dan Selat Sepakat di Lahad Datu, Kerajaan Negeri Sabah di bawah kerajaan PBS telah meletakkan mereka di dalam kesengsaraan apabila memutuskan untuk membatalkan skim pekebun kecil berkenaan kerana pekebun kecil gagal memajukan tanah mereka yang telah menerima tawaran pada 1983.

Kerajaan telah membuat keputusan untuk memajukan Skim Pekebun Kecil di bawah Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB), namun tertangguh selama sembilan tahun sehinggalah Kerajaan PBS tumbang kepada Kerajaan Barisan Nasional melalui Kudita (coup-de-tat) yang terancang melalui manipulasi pengundi hantu dan rasuah politik dalam pilihan raya 1994.

Pada 2 Ogos 1994, Kerajaan Negeri Sabah di bawah tadbirurus Umno-BN telah mengadakan perbincangan untuk menyenaraikan sebuah anak syarikat SLDB, Sawit Kinabalu Sdn.Bhd ke Bursa Saham Kuala Lumpur.

Selaras dengan itu, Kerajaan Negeri Sabah telah meluluskan permohonan Borneo Samudera Sdn.Bhd untuk mengadakan usahasama dengan pekebun kecil walaupun hakikatnya saham berkenaan ditawarkan oleh anak syarikat Sawit Kinabalu, Cemasjaya Berhad untuk mengambilalih urusan pembangunan tanah Skim Pekebun Kecil Bagahak.

Namun tanpa diduga, usahasama berkenaan ialah pelupusan hakmilik melalui penggantian sijil saham mengikut taksiran harga tanah yang sekaligus melupuskan hak pekebun ke atas tanah mereka yang telah dicairkan melalui Sijil Saham dalam Cemasjaya Berhad.

Cemasjaya Berhad dengan modal dibenarkan sejumlah 250 juta saham bernilai RM1 setiap satu telah berjaya ‘menelan’ semua tanah pekebun kecil yang bersetuju dengan usahasama berkenaan melalui pengeluaran sijil saham bernilai antara 22,688 saham sehingga 25,000 saham pada 1 Julai 1999.

Dengan pengeluaran sijil saham Borneo Samudera Sdn.Bhd pada 12 Oktober 1998 dan Cemasjaya Berhad pada 1 Julai 1999, maka para pekebun kecil telah kehilangan locus standi ke atas tanah mereka disebabkan surat perjanjian berbahasa Inggeris berkenaan tidak difahami yang menjelaskan secara terperinci bahawa mereka bersetuju menyerahkan geran draf atau surat tawaran untuk ditukarmilik kepada Borneo Samudera Sdn.Bhd.

Para pekebun kecil telah dijanjikan ‘bulan dan bintang’ walaupun yang kelihatan hanyalah bulan sabit kerana pejabat Borneo Samudera Sdn.Bhd terletak di hadapan Hospital Besar Lahad Datu, maka mereka menjadi pengemis pada setiap menjelang hari kebesaran perayaan seperti Hari Raya, Pesta Menuai dan Krismas menunggu bonus dan keuntungan yang dijanjikan.

Namun penderitaan mereka tanpa pembelaan oleh kerajaan BN Sabah yang diterajui Musa Aman, semakin parah apabila semua tanah yang diluluskan kepada mereka oleh Kerajaan Berjaya pada 1983 telah dibatalkan dan dikeluarkan geran yang baru atas nama Bagahak Plantation Sdn.Bhd.

Geran baru berkenaan, CL 115433764 seluas 5,321 hektar di atas kawasan yang sama dengan kawasan yang diluluskan kepada pekebun kecil Skim Bahagak yang kini dimiliki Rikaworth Sdn.Bhd sebanyak 71 % dan Ramapower Berhad sebanyak 29 %.

Geran berkenaan dikeluarkan pada 10 April 2007 dibuat berdasarkan permohonan tanah 98110838 iaitu setelah Borneo Samudera Sdn.Bhd mematerai perjanjian usahasama dengan pekebun kecil melalui pengeluaran saham Cemasjaya Berhad yang sekaligus melupus hak para pekebun kecil berkenaan.

Walaupun sekumpulan besar pekebun kecil telah berjaya mendapat injuksi daripada mahkamah, namun gagal memasuki tanah berkenaan kerana geran hak milik atas nama Bagahak Plantation Sdn.Bhd dan bukannya Borneo Samudera Sdn.Bhd atau Cemasjaya Berhad yang mempunyai kaitan dengan mereka.

Teori domino ini telah meletakkan 900 pekebun kecil di Skim Pekebun Kecil Bahagak berada di dalam dilema apabila menyedari mereka ditipu secara culas dan dirompak secara sedar.

Inilah masalah utama kami. Tanah kami dilucut hak tanpa sedar kerana Borneo Samudera Sdn.Bhd telah memperdaya kami melalui usahasama palsu,” ujar Pengerusi Jawatankuasa Bertindak, Hashim Zainuddin.

Menurut Hashim, kejayaan mereka memfailkan injunksi di mahkamah tidak memberikan sebarang erti kerana sinonim dengan kata pepatah, menang sorak kampung tergadai.

Kini kami terikat pula dengan sebuah syarikat yang membiayai kos guaman kami, macam kata orang tua-tua, terlepas mulut harimau masuk mulut buaya,” ujar Hashim dengan nada kesal.

Sehubungan itu, Hashim merayu kepada Kerajaan Barisan Nasional agar mengembalikan tanah mereka yang dirampas dengan cara penipuan, pembelitan dan tidak sah.

Hanya inilah tanah yang kami ada untuk diwariskan kepada anak cucu kami. Tapi tanah kami telah diberikan kepada orang lain. Yang tinggal hanyalah kertas sijil saham yang tidak berfaedah ini,” ujar Hashim lagi.

Menurut Hashim, pihaknya telah melakukan usaha melalui pelbagai saluran, sama ada kompromi, diplomasi dan mahkamah, namun semuanya melalui jalan buntu.

Kata Hashim lagi, pihaknya menolak bayaran bonus dan dividen, sekalipun ada yang menerima lebih RM8,000 kerana berpendapat dibuat secara tidak adil dan merugikan para pekebun kecil.

Sebagai contoh kata Hashim, seorang pemegang saham, Melbani Bikang dan isterinya Halus Abdul Razak telah menerima RM8,155 dividen dan bonus pada 1 Oktober 2007 daripada Sawit Kinabalu Sdn.Bhd ke atas 40,775 saham mereka di dalam Cemasjaya Berhad, iaitu di bawah paras kemiskinan kerana satu unit saham hanya mendapat keuntungan 20 sen sahaja.

Tegas Hashim, jika dibahagi secara purata, Melbani hanya menerima RM679.583 sebulan iaitu jauh lebih miskin daripada pekerja asing Indonesia yang memperoleh antara RM1,500 hingga RM3,000 sebulan.

Jika masih ada ehsan Kerajaan Barisan Nasional yang mahu mendaulatkan Ketuanan Melayu di Sabah, kembalikanlah tanah kami yang dirampas secara tidak sah. Jika tidak, mungkin kami terpaksa memberi undi tidak percaya dengan menolak Kerajaan BN pada pilihan raya akan datang. Kami terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada BN,” ujar Hashim yang muak dengan janji wakil rakyat Lahad Datu dan Tungku dan tujuh Ketua Menteri Sabah sebelum ini.

Manakala seorang Ketua Cawangan Umno, Abdul Rahman Hairal yang diberikan tawaran berdasarkan permohonan tanah 83110928 seluas 13.93 ekar di lot bernombor 1026 di pelan 11126940 pada 28 Mei 1983 kesal kerana ditipu hidup-hidup oleh Kerajaan Barisan Nasional selepas mengambilalih tampuk pemerintahan pada 1994.

Ini penipuan yang paling besar dan dihalalkan BN. YB dan Ketua Menteri semua menjadi penyamun tanah kami. Inikah yang kami dapat dengan menyertai Umno?,” ujar Rahman yang mungkin terpaksa berkerat rotan dan berpatah arang dengan pemimpin Umno jika usaha mendapat kembali tanahnya gagal.

Menurut Rahman, pada 12 Oktober 1998 beliau telah diberikan sijil bernombor 0503 bagi lot 1026 oleh Borneo Samudera Sdn.Bhd yang mencatat 22,688 saham bernilai RM1 setiap satu.

Pada 1 Julai 1999, satu sijil bernombor yang sama, tetapi dikeluarkan oleh Cemasjaya Berhad pula, tapi jumlah saham tidak berubah,” ujar Rahman yang hairan kenapa dua sijil dikeluarkan secara berasingan.

Rahman mendakwa, berdasarkan nilai semasa tanah berkenaan iaitu pada kadar RM15,000 seekar, maka sewajarnya jumlah saham yang ditawarkan ialah 208,950 saham dan bukannya 22,688 sahaja.

Memandangkan mereka (SLDB) telah bercucuk tanah di atas tanah kami, maka sewajarnya nilai saham kami ditambah mengikut nilai semasa,” ujar Rahman yang mencadangkan penilaian semula saham berkenaan jika kerajaan gagal mengembalikan tanah mereka yang dirampas secara tidak sah.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengguna Sabah dan Labuan (Cash), Datuk Patrick Sindu menggesa Kerajaan Negeri menubuhkan Suruhanjaya Tanah bagi menyelesaikan masalah tanah yang bermasalah di Sabah.

Jabatan Tanah tidak cekap kerana amalan rasuah telah membudaya dan menjadi pemangkin kegagalan jabatan berkenaan berfungsi dengan baik, kerana itu kita memerlukan Suruhanjaya Tanah untuk mengesan dan mengenalpasti punca kelewatan pemprosesan tanah dan pengeluaran geran,” ujar Patrick yang membidas pihak yang menindas rakyat miskin di luar Bandar.

Menyentuh Skim Pekebun Kecil Bagahak yang disifatkannya menjadi makmal ujikaji kerajaan yang gagal dan lebih banyak menimbulkan masalah.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pernah ‘dijual’ pemimpin hipokrit dengan melancarkan Ladang PPRT Bagahak pada 17 September 2003. Kini mana sudah ladang PPRT Bagahak?,” ujar Patrick yang meminta Kerajaan BN berhenti membohongi rakyat jika mahu dihormati dan diyakini memimpin Sabah menjadi negara maju.

Menurut Patrick, pada majlis penyampaian Sijil Hak Milik Saham kepada 184 peserta ladang PPRT Bagahak, Tun Dr Mahathir berkata,”Percayalah cakapa saya, tidak ada kerajaan dalam dunia ini yang menolong rakyat miskin mengikut apa yang kita lakukan sekarang.”

Tetapi apa sudah jadi dengan janji Dr Mahathir apabila Kerajaan BN Sabah gagal tunaikan janji kerana para peserta PPRT hanya menerima pinjaman antara RM500 hingga RM1,000 setahun sekali menjelang hari raya sejak 1995.

Jika mereka hanya terima RM500 setahun, bermakna pendapatan bulanan mereka hanya RM41.66 sebulan? Memang memalukan,” ujar Patrick yang kesal kerana rakyat miskin di luar bandar telah dipenjara di dalam sangkar kemiskinan.

Kata Patrick jika hal sekecil ini tidak dapat ditangani secara bestari, hasrat Kerajaan BN mewujudkan modal insan dan mempelopori sektor pertanian negara hanyalah wawasan kosong atau sekadar memberi cek tendang kepada rakyat.

Cukuplah. Berhentilah berjanji kosong. Kasihanilah rakyat yang dihimpit kemiskinan. Jika tanah mereka dirampas, apa lagi yang mereka ada untuk meneruskan kehidupan,” seru Patrick yang berjanji akan membantu para pekebun kecil mengemukakan memorandum kepada Kabinet Negeri Sabah jika keadaan memerlukan.

Oleh kerana tidak tahan dengan pelbagai aduan lisan dan bertulis rakyat, Ketua Penerangan Angkatan Muda Parti KeAdilan Sabah, Zainuddin Hassan @ Simon telah membuat laporan polis di Balai Polis Sandakan pada jam 12.32 tengah hari, 7 Disember 2007 melalui laporan bernombor Skn/Rpt/14271/2007 yang berbunyi;

Pada lebih kurang jam 11 pagi, saya menerima salinan dokumen daripada team pemantauan Parti Keadilan Rakyat (KeAdilan) daripada Lahad Datu berhubung salah laku Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman yang telah meluluskan pengeluaran geran hakmilik CL 115433764 seluas 5,321 hektar pada 10 April 2007 kepada Bagahak Plantation Sdn.Bhd sedangkan tanah berkenaan adalah milik 900 pekebun kecil di Skim Pekebun Kecil Bahagak yang sekaligus melupuskan pegangan pekebun kecil ke atas tanah mereka. Siasatan saya mendapati terdapat unsur salahguna kuasa dan rasuah kerana pemindahmilik hak tanah berkenaan dibuat dengan cara tipuan, pembelitan dan pemalsuan. Saya datang ke balai membuat laporan agar polis dan Badan Pencegah Rasuah menyiasat dan menangkap Musa Aman kerana menyalahguna kuasa untuk kepentingan diri dan politiknya. Laporan juga dibuat agar Polis dan BPR menangkap semua Ahli Lembaga Pengarah Borneo Samudera Sdn.Bhd, Cemasjaya Sdn.Bhd, Bagahak Plantation Sdn.Bhd, Rikaworth Sdn.Bhd, Ramapower Sdn.Bhd dan Sawit Kinabalu Sdn.Bhd yang secara bersama telah melakukan penipuan berkenaan secara subahat. Laporan juga dibuat agar polis menyiasat Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah, Datuk Sam Mannan kerana bersubahat membenarkan Borneo Samudera Sdn.Bhd secara bersama dengan Cemasjaya Sdn.Bhd, Rikaworth Sdn.Bhd dan Ramapower Sdn.Bhd telah menceroboh dan meneroka untuk kegiatan penanaman kelapa sawit sebahagian besar Hutan Simpan Dara Silabukan dan Hutan Simpan Silabukan. Laporan juga dibuat terhadap Penolong Pemungut Hasil Tanah Lahad Datu kerana membenarkan Bagahak Plantation Sdn.Bhd menceroboh Tanah Simpanan Kampung Ubian Gabungan di Takun. Sekianlah laporan saya.”

Tegas Zainuddin, walaupun polis belum menjalankan siasatan, namun beliau berharap agar BPR akan mengambil tindakan segera bagi mendakwa mereka yang terlibat di mahkamah.

Motif saya jelas. Kembalikan hak rakyat yang dirampas. Keadilan tidak akan bertolak ansur dengan sikap BN yang gemar merampas tanah rakyat. Tidak cukup dengan Mount Pock dan Tanjung Nagus, Skim Bagahak juga dirampas dengan cara paling licik dan kejam,” ujar Zainuddin lagi.

Zainuddin turut menggesa BPR menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pemegang saham Cemasjaya Berhad terdiri daripada Borneo Samudera Sdn.Bhd (49.5 juta), Shim Kiok Siam (40,165), Saidar Kintar (40,738), Lateh Sait (41,896), Rs (38,132,221), Suhaimi Ibrahim (45,434), Sia Ngan Khing (40,736), Musa @ Usa Anda (39,460), Bakri Pakhi (41,871), Melbani Bikang (40,775), Baranang Drubai (70,504), Dotbut Yetid @ Tupas Jati Gumantong (42,109), Ikrajadi Sdn.Bhd (734,911), Bulangan Panasi (630,076), Roscy @ Malel Bte Slamat (61,462), Kwan @ Bua Bte Chin (46,872), Nursiah Abdullah (48,094), Ayuh Pendasan (214,345), Sipul Pendasan (57,905), Lam Kai Ping @ Lam Kee Ping (88,980) dan Hassan salleh (42,806) kerana wujudnya rasuah disebabkan pengagehan saham dibuat secara sulit dan tertutup.

Mana mungkin seorang pegawai kerajaan seperti Bulangan Panasi boleh memiliki saham sejumlah 630,076 sedangkan gajinya hanya RM3,000 sebulan. Begitu juga dengan Lam Kai Ping @ Lam Kee Ping yang mempunyai 88,980 saham. Lebih teruk lagi, Sari @ Usari Arshad gagal mengisytiharkan kepentingannya di dalam Cemasjaya apabila isterinya, Roscy @ Malel Bte Slamat memiliki 61,462 saham, dalam masa yang sama Sari turut menjadi ahli lembaga pengarah,” ujar Zainuddin lagi, yang kesal kerana Ketua Audit Negara gagal menjalankan siasatan walaupun RM24 juta telah dikeluarkan untuk perbelanjaan Skim Pekebun Kecil Bagahak.

Tinjauan Malaysia Today ke Skim Bahagak mendapati dakwaan Zainuddin tepat kerana sebahagian besar kawasan Ladang Bagahak termasuk di dalam kawasan Hutan Simpan Silabukan dan Tanah Simpanan Kampung Ubian Gabungan di Takun sehingga memaksa masyarakat Ubian berhijrah ke Bakapit.

Pemeriksaan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati seorang pegawai kerajaan iaitu Penolong Pegawai Daerah Lahad Datu, Sari @ Usari Arshad telah menjadi Pengarah Bagahak Plantation Sdn.Bhd, Ramapower Berhad dan Cemasjaya Berhad tanpa kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan gagal mengistiyharkan hartanya.

Kerajaan Negeri Sabah telah melantik Salim Mohammad, Chan Ai Yah, Mohammad Azlie @ Teo Ann Khen, Basari Sarkun, Sari @ Usari Arshad dan Bacho Jansie sebagai Ahli Lembaga Pengarah Cemasjaya Sdn.Bhd. yang mempunyai modal berbayar RM90 juta, sekalipun mencatatkan kerugian terkumpul RM 451,351 bagai tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2004.

Manakala Bagahak Plantation Sdn.Bhd yang mempunyai modal berbayar RM100 yang dimiliki sepenuhnya oleh Ramapower Berhad (29 saham) dan Rikaworth Sdn.Bhd (71 saham) telah melantik Basari Sarkun, Sari @ Usari Arshad, Salim Mohammad, James Gaditis, Bacho Jansie, Mohammad Azlie @ Teo Ann Khen sebagai Ahli Lembaga Pengarah.

Dengan memiliki aset tetap sejumlah RM187,320,253, Bagahak Plantation Sdn.Bhd telah mencatat keuntungan selepas cukai RM14,153,908 dan Keuntungan terkumpul sejumlah RM46,156,004 bagi tahun berakhir 31 Disember 2006.

Ramapower Berhad yang memiliki 29 unit saham bernilai RM1 setiap satu dalam Bagahak Plantation Sdn.Bhd dan mempunyai modal berbayar RM26 juta yang dimiliki sepenuhnya oleh Rikaworth Sdn.Bhd telah melantik Basari Sarkun, Sari @ Usari Arshad, Ahmad @ Prestya Shamsuri sebagai Ahli Lembaga Pengarah.

Namun agak menghairankan kerana hanya mempunyai aset semasa RM2 berbanding liabiliti RM68,659 dan mencatat kerugian terkumpul RM45,208 bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2006.

Sebaliknya Rikaworth Sdn.Bhd yang hanya mempunyai modal berbayar RM2 dan dimiliki sepenuhnya oleh Sawit Kinabalu Berhad telah melantik Salim Mohammad dan Chin Ai Yah sebagai Ahli Lembaga Pengarah.

Dengan aset tetap sejumlah RM531,505,464, Rikaworth Sdn.Bhd, hanya mencatat keuntungan selepas cukai RM484,131 bagi tahun berakhir 31 Disember 2006.

Tetapi Borneo Samudera Sdn.Bhd yang dipengerusikan oleh Surady Kayong mempunyai modal berbayar RM50 juta dimiliki sepenuhnya oleh Rikaworth Sdn.Bhd telah melantik Stephen Robert Evans, Pang Teck Wai, Salim Mohammad, Surady Kayong, Goh Chin Lok @ Johnny Goh, Kee Mustafa sebagai ahli Lembaga Pengarah, turut memberi kepercayaan kepada Salim Mohammad sebagai Pengurus.

Borneo Samudera yang mempunyai aset sejumlah RM770,973,593 berbanding liabiliti sejumlah RM288,027,528 memperoleh pendapatan sejumlah RM391,200,687 dan mencatat keuntungan terkumpul RM699,147,892 bagi tahun berakhir 31 Disember 2006.

Manakala Sawit Kinabalu Sdn.Bhd yang dipengerusikan Datuk Musa Aman yang mempunyai modal berbayar RM249 juta yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Sabah telah melantik Musa Aman, Pang Teck Wai, Bernard Giluk Dompok, Kee Mustafa, Othman Walat, George @ Juaari Majid, Stephen Robert Evans dan Salim Mohammad sebagai Ahli Lembaga Pengarah.

Bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2006, Sawit Kinabalu Sdn.Bhd. telah memperoleh hasil RM520,022,930 dan mencatat keuntungan selepas cukai RM42,396,774 dan berjaya merekod keuntungan terkumpul RM691,462,153.

Melihat kepada komposisi ahli lembaga pengarah Rikaworth Sdn.Bhd dan subsidiarinya (19 syarikat) yang terdiri daripada pelbagai kaum dan anutan politik, adalah tidak mungkin penindasan terbuka ini boleh berlaku, tetapi itulah hakikatnya apabila pemimpin mendapat kuasa secara tidak sah dan melakukan sesuatu yang bercanggah dengan lunas demokrasi dan mencampak Perlembagaan Negara demi untuk kesenangan hidup mereka sendiri.

Ke mana rakyat hendak mengadu? Hanya Malaysia Today yang menjadi sandaran dan menjadi noktah perjuangan mereka yang sudah mula putus asa kerana semua media di Sabah mengamalkan dasar mudah, media blackout jika rakyat menentang kerajaan yang zalim!



Comments
Loading...