Kerajaan tidak mampu turunkan harga minyak


TUARAN 30 Dis. – Kedudukan ekonomi negara boleh terjejas teruk selain program pembangunan dan penyediaan kemudahan rakyat terhalang sekiranya kerajaan bertindak menurunkan harga minyak, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, rakyat perlu memahami masalah kenaikan harga minyak mentah yang mengikut harga pasaran dunia dan tidak mungkin kerajaan boleh menurunkan sesuka hati.

Menurut beliau, meskipun merupakan salah sebuah negara pengeluar minyak, segala keuntungan hasilnya perlu digunakan bagi projek pembangunan negara dan tidak boleh digunakan sepenuhnya untuk subsidi.

Parti pembangkang memberitahu bahawa mereka akan menurunkan harga minyak sekiranya berjaya memerintah negara dengan mengagihkan keuntungan Petronas serta mengelakkan pembaziran dan salahurus harta negara. 

“Kononnya kalau (pembangkang) memerintah harga minyak akan turun, di mana mereka ini letak akal… Kalau harga minyak seluruh dunia naik, kita pula nak turunkan. Ini tidak masuk akal, ini cubaan memperbodohkan orang Sabah dan rakyat jelata,'' katanya.

Beliau berkata demikian semasa melancar Tamu Besar dan Karnival Budaya Tuaran di sini, hari ini.

Najib berkata, daripada satu aspek, sememangnya hasil keuntungan Petronas ekoran kenaikan harga minyak mentah boleh digunakan bagi menambah subsidi petroleum tetapi ianya akan mengurangkan pula agihan perbelanjaan pembangunan negara.

“Memang boleh kita turunkan harga minyak, dengan syarat jangan buat jalan raya, jangan buat sekolah, jangan buat universiti. Semua hasil digunakan untuk turunkan harga minyak… akhirnya kerajaan akan jadi bengkrap.

“Oleh itu, janganlah lagi memperbodohkan rakyat dengan isu minyak ini, rakyat kini tahu dan sedar siapa yang betul dan siapa yang tidak kerana dalam keadaan harga minyak yang tinggi sekarang, kerajaan masih mempertahankan harga minyak negara sebagai yang terendah berbanding negara-negara lain,'' ujar beliau.

Menyentuh perkara lain, Timbalan Perdana Menteri berkata, satu kejayaan besar kerajaan Barisan Nasional yang perlu dipertahankan selama-lamanya ialah rekod mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Katanya, bukan suatu yang mudah bagi sesebuah kerajaan untuk mentadbir sebuah negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum, agama, budaya dan bahasa.

“Masyarakat kita mungkin menganggap ini sebagai perkara biasa tetapi kita perlu sedar bahawa apa yang kita kecapi hari ini tidak terjadi dengan sendirinya. Ia diusahakan oleh para pengasas negara yang mempunyai pandangan jauh.

“Negara kita dibentuk melalui satu pemaufakatan serta jalinan hubungan yang erat sebagai satu keluarga negara. Kita tidak lagi boleh berfikiran sempit dengan memikirkan kaum dan duduk dalam kepompong sendiri,'' ujar beliau.

Tambah beliau, semua kaum seharusnya bersama-sama memikul tanggungjawab menjaga keharmonian antara kaum kerana kehidupan yang unik dan kompleks seperti itu akan tetap sentiasa berhadapan dengan pelbagai cabaran. – Utusan



Comments
Loading...