Kenyataan palsu Hishammuddin mesti disanggah


Oleh Ibu Bapa Prihatin

Saya baru pulang dari mendaftar anak saya di Sekolah Menengah Jalan Empat, Bandar Baru Bangi. Mengikut perancangan asal sekolah ini beroperasi dalam satu sessi iaitu sessi pagi sahaja. Walau bagaimanapun disebabkan pengambilan pelajar Tingkatan 1 bagi tahun 2008 adalah melebihi kuota maka ianya terpaksa dibahagikan kepada 2 sessi iaitu sessi pagi dan petang.

Menurut perancangan asal pengambilan pelajar Tingkatan 1 adalah sekitar 250, tetapi sehingga 31 Disember 2007 terdapat 410 pelajar yang telah mendaftar di sekolah tersebut. Dan maklumat yang saya dapat daripada pihak sekolah, mereka terpaksa menerima kira-kira 100 pelajar lagi, bermakna pelajar Tingkatan 1 adalah sekitar 500 orang. Kelas yang disediakan bagi sessi 2008 adalah 10 kelas bermakna setiap kelas mempunyai 50 pelajar.

Ini adalah berlawanan dengan permintaan PM yang inginkan semua sekolah berusaha untuk beroperasi dalam satu sessi. Sekolah ini merupakan sekolah khas untuk pelajar cemerlang dalam UPSR yang mana kelulusan minima adalah 4A, 1B. Keputusan tidak rasmi mengatakan sekolah ini adalah sekolah harian paling cemerlang di Malaysia untuk PMR.

Jadi bagaimanakah pihak guru dapat meneruskan kecemerlangan sekolah bilamana bilangan pelajar melebihi 35 orang seperti yang disyorkan untuk mendapat kualiti pembelajaran yang baik. Selain itu kemungkinan besar ramai pelajar terpaksa menunggu hingga Feb 08 untuk mendapat pinjaman buku teks akibat dari limpahan pelajar yang mendaftar di sekolah tersebut. Jadi bagaimana pelajar ingin mendapat pelajaran berkualiti sepertimana yang diwar-warkan oleh kerajaan.

Sementara itu, yuran yang dihapuskan oleh kerajaan cuma sekitar RM9.00, sedangkan hakikatnya ibu bapa terpaksa membayar lebih dari RM100.00 ketika pendaftaran. Ini tidak termasuk bayaran untuk buku kerja dan lain-lain keperluan sekolah. Jadi dimanakah janji kerajaan yang berdegar-degar mengatakan hanya Kerajaan Malaysia memberikan pelajaran percuma kepada rakyatnya di dunia ini.

Selain itu, bilakah sekolah pertama yang dilancarkan di bawah RMK 9 oleh Dato' Hishammuddin selaku Menteri Pelajaran dapat disiapkan. Untuk makluman sekolah ini terletak di Bandar Seri Putra, dan sewaktu dilancarkan pada pertengahan 2005, pihak pemaju berdekatan iaitu UMLAND juga sedang membangunkan projek perumahan mereka. Sekarang projek perumahan pihak pemaju sudah siap dan mula diduduki tetapi sekolah tersebut masih juga belum siap. Jadi adakah kontraktor yang dilantik bermasalah bilamana sebuah sekolah gagal disiapkan setelah lebih setahun di kerjakan sedangkan pada masa yang sama pembinaan beratus-ratus buah rumah dapat disiapkan dan sedia diduduki.

Adakah Menteri Pelajaran lebih suka menghunus keris dari memperjuangkan nasib rakyat dalam pendidikan?



Comments
Loading...