Kekacauan besar dalam Darul-Islam


Musuh umat Islam ialah umat Islam sendiri. Kuasa Yahudi-Kristen Barat tidak akan berjaya, kecuali kerana penyelewengan-penyelewengan umat Islam sendiri dari ajaran-ajaran Tuhan kepada mereka.

Oleh: Kassim Ahmad

Active Image

Jangan bermula dengan pembunuhan Benazir Bhuto di Islamabad semalam. Atau dengan pencerobohan terhadap Iraq oleh Pakatan Barat pimpinan Bush. Atau dengan Perang Anti-Keganasan yang dimulakan oleh Bush selepas “peristiwa 9/11” di Afghanistan. Pergi kepada komplot kaum penjajah Barat dalam Perang Dunia Pertama dengan pemecahan Empayar Uthmaniah dan penciptaan negara-negara boneka Arab, termasuk Arab Saudi, Kuwait, Mesir dan Jordan. Ingatkan komplot Inggeris-Amerika mencipta negara Israel sebagai benteng kuasa Barat di rantau strategik Asia Barat. Kita boleh pergi jauh lagi dalam sejarah, kepada lapan Perang Sabil dalam abad-abad ke-11 hingga 13, atau kepada permusuhan tradisional kaum Yahudi-Kristen terhadap kebangkitan Nabi Muhammad.

Tetapi hanya selepas pemecahan Empayar Uthmaniah dalam Perang Dunia Pertama kuasa penjajahan Barat dapat mengatasi Dunia Islam. Dari titik itu, mereka tidak takut dan tiada hormat lagi kepada kuasa Islam. Islam sudah jatuh, dijatuhkan oleh orang Islam sendiri, berpunca dari penyelewengan mereka dari ajaran Tuhan yang sebenar kepada mereka dalam Quran.

Quran melarang mereka dari menyengutukan Dia dengan sesiapa pun, tetapi mereka telah mendewa-dewakan Nabi Muhammad dan kasta ulama sebagai dua autoriti lain (melalui gagasan-gagasan perundangan Hadis/Sunnah dan Ijmak ulama), di samping Allah. Quran melarang mereka membuat puak dalam agama, tetapi, selepas 250 tahun Nabi Muhammad wafat, mereka berpecah kepada dua puak besar, Ahli Sunnah wal-Jama’ah dan Syiah dengan berpuluh-puluh pecahan lain lagi. Quran mengishtiharkan persaudaran orang Islam, tetapi mereka berperang dan membunuh satu sama lain, bermula dari Perang Unta dan Perang Siffin dalam zaman khalifah-khalifah Uthman dan Ali. Ingatkan Perang Iran-Iraq (1981-88) yang dihasut oleh Inggeris-Amerika-Zionis dengan Iran memasuki perangkap mereka. Tuhan memerintah kita membaca Quran untuk difaham dan diikut, tetapi ulama mengajar mereka melagukan Quran untuk mendapat pahala, tidak kira faham atau tidak! Tuhan mengisytiharkan kebebasan total dalam agama, tetapi, mereka, mengiku hadis yang palsu, mahu membunuh orang yang keluar dari Islam! Quran tidak memisahkan ilmu dunia dari ilmu agama, tetapi ulama mereka berbuat demikian dengan meminggirkan ilmu dunia. Tuhan menyuruh mereka memberi salam kepada semua orang, sama ada muslim atau bukan, tetapi ulama mereka melarang mereka berbuat demikian!

Senarai penyelewengan mereka terlalu panjang, dari penyelewengan yang terbesar. Kita hendak persalahkan siapa kalau kekacauan besar telah menimpa kita?

Musuh umat Islam ialah umat Islam sendiri. Kuasa Yahudi-Kristen Barat tidak akan berjaya, kecuali kerana penyelewengan-penyelewengan umat Islam sendiri dari ajaran-ajaran Tuhan kepada mereka.

Pakistan, barang diingat, lahir dari cita-cita untuk menubuhkan sebuah komuniti  Islam di benua India, walaupun Quran tidak memerintahkan mereka berbuat demikian. Tuhan hanya menghendaki kita memerintah dengan adil, berdasarkan undang-undang yang adil dan berdasarkan muafakat dan musyawarah. Adakah ini susah hendak kita ikut? Tentu tidak! Jadi, apakah yang menghalang kita berbuat demikian? Tidak yakin kepada diri sendiri? Takut kepada orang lain? Apakah kita tidak takut kepada Tuhan?

Kita di Malaysia jangan fikir huru-hara besar ini tidak boleh berlaku di negara kita. Apa yang berlaku dan akan berlaku ialah akibat dari perbuatan kita sendiri. Perbuatan kita terbit dari fikiran kita. Apakah bezanya antara orang Islam di Pakistan dengan orang Islam di Malaysia dari segi fikirannya? Dulu ia berlaku di Palestin. Dulu ia berlaku di Afghanistan. Dulu ia berlaku di Iraq. Sekarang ia berlaku di Pakistan. Apa yang akan mengahalang ia berlaku di negara kita esok atau lusa?

Kita mesti menghalang musibah besar ini dari berlaku di negara kita. Bolehkah kita berbuat demikian? Tidak ada sebab kita tidak boleh buat, jika kita mahu. Kata pepatah, hendak seribu daya; tak hendak seribu dalih. Kita kena jujur. Kita kena berani. Kita kena bertindak berdasarkan prinsip. Kita kena elak tindakan berdasarkan oporcunisme atau geopolitik. Tuhan akan bersama kita jika kita bertindak demikian, dan kita pasti berjaya. Oleh itu, kita cadangkan supaya pemimpin dan cerdik-pandai kita yang prihatin dan patriotik mengadakan perbincangang-perbincangan, tertutup kalau perlu, untuk mengkaji masalah-masalah kita dan masalah-masalah umat Islam supaya kita boleh keluar dengan seberapa segera dari kekacauan besar ini.

Sudah sampai masanya kita tidak bergantung kepada Barat. Sistem liberal Barat sendiri sedang runtuh.  Kita perlu keluar dari kapal Titanic Amerika-Inggeris yang sedang tenggelam. Negara-negara di luar blok Barat, seperti Rusia, China, India dan sesetengah negara Amerika Latin juga sedang mencari jalan keluar dari keruntuhan besar ini. Kita perlu bergabung dengan mereka. Di Amerika dan Eropah sendiri terdapat kumpulan-kumpulan humanis dan demokratik, berbeza dengan puak fasis neokon George W. Bush, yang akan menyambut baik inisiatif seperti ini. Kita umat Islam bertuah kerana kita masih mempunyai kitab suci yang bebas dari korupsi manusia, iaitu Quran yang agung. Carilah dengan jujur jalan keluar kita dari mala-petaka besar ini dari kitab suci ini.

Kassim Ahmad seorang pengarang Malaysia. Beliau boleh dihubungi di [email protected]  Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com



Comments
Loading...