Manifesto PH retorik, tiada tawaran baharu, kata PAS


Takiyuddin Hassan berkata, manifesto PH hampir sama dengan manifesto dikemukakan Pakatan Rakyat dahulu.

(FMT) – Manifesto Pakatan Harapan (PH) bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang dilancarkan Khamis lepas lebih bersifat retorik, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata, manifesto tersebut tiada apa-apa yang baharu kerana ia hampir sama dengan manifesto dikemukakan Pakatan Rakyat dahulu.

“Kita melihat sebahagiannya (manifesto) adalah mustahil untuk dilaksanakan,” katanya selepas majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan PAS Kawasan Tumpat di sini, hari ini.

Mesyuarat tersebut dirasmikan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Turut hadir Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang juga yang dipertua PAS Tumpat.

Takiyuddin berkata, Gagasan Sejahtera yang disertai PAS akan melancarkan manifesto mereka pada 18 Mac ini di Cyberjaya oleh Hadi yang antara lain memaparkan pencapaian parti itu, termasuk di Kelantan.

Mengenai kaji selidik Invoke Malaysia yang diumumkan Pengasasnya, Rafizi Ramli yang PAS tidak akan menang walaupun satu kerusi Parlimen, malah bakal kehilangan Kelantan pada PRU14, Takiyuddin berkata, banyak kajian beliau meleset, termasuk mengenai kerajaan Selangor yang dipimpin PKR.

“Saya cadang kepada Rafizi supaya menekankan kajian sama ada kerajaan Selangor boleh kekal atau tidak, kerana walaupun dengan cabaran dihadapi, kita yakin PAS boleh pertahan Kelantan,” kata ahli Parlimen Kota Bharu.

 



Comments
Loading...