Gandingan Anwar-Muhyiddin kombinasi terbaik peralihan kuasa


Gandingan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat sebagai kombinasi terbaik sekiranya kedua-dua pemimpin itu mengambil alih jawatan perdana menteri dan juga timbalan perdana menteri kelak.

(SH) – Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Husam Musa berkata, beliau melihat sekiranya kedua-dua pemimpin ini digandingkan, ia akan dapat mengamankan peralihan kuasa jawatan penting negara yang akan berlaku nanti.

Beliau berkata, dalam isu peralihan kuasa, perkara yang pertama adalah isu kestabilan negara di mana kepimpinan yang teratur dan pemimpin yang menggantikan mesti berpengalaman.

“Dalam konteks PH, ada dua pemimpin paling senior iaitu Anwar dan Muhyiddin.

“Setakat ini, tiada orang yang bincang dan saya memberanikan diri membincangkan untuk Anwar mengambil pemimpin Melayu daripada parti bukan PKR sebagai gandingannya menjadi timbalan perdana menteri iaitu Muhyiddin,” katanya dalam satu wawancara khas bersama Sinar Harian Selasa lalu.

Beliau berkata, ia juga sebagai timbal balas kesudian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil pemimpin bukan daripada Bersatu untuk menjadi Timbalan Perdana Menterinya iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menurutnya, dari segi senioriti jawatan, Muhyiddin sangat layak malah beliau turut berpengalaman sebagai bekas timbalan perdana menteri sebelum ini.

Dalam pada itu, Husam berkata, sinergi antara keluarga Anwar dan Dr Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu mesti dijaga.

“Jangan beri dua keluarga ini berperang semula, ia satu kerugian kepada kestabilan negara sebab dua keluarga ini mempunyai pemimpin pelapis iaitu Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Nurul Izzah Anwar. Kalau mereka bertembung semula, saya kira tiada keuntungan kepada negara.

“Alangkah indah jika peralihan berjalan seperti disebutkan dan dengan sendiri semua masalah lain akan selesai,” katanya.

Katanya, secara pemerhatian beliau melihat Anwar telah menerima hakikat, Dr Mahathir lebih berpengalaman serta lebih jitu dalam kepimpinan selain belajar banyak perkara dalam episod sebelum ini.

“Jadi penerimaan akan berterusan kalau Anwar jadi perdana menteri dan saya percaya legasi Dr Mahathir juga akan dijaga,” katanya.

 

 



Comments
Loading...