SPRM akan soal Hishammuddin dalam siri pertama siasatan bawah KP baru


(FMT) – Bekas menteri pertahanan Hishammuddin Hussein dijangka akan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam beberapa hari ini untuk disoal, ketika ia memanggil beberapa pemimpin pentadbiran lepas dalam siri pertama siasatannya sejak tampuk badan anti-rasuah itu bertukar tangan.

Orang-orang yang arif tentang siasatan itu memberitahu FMT bahawa SPR hari ini akan mengeluarkan surat kepada Hishammuddin dan beberapa orang lain, termasuk bekas timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi.

Belum dipastikan sama ada Hishammuddin akan direman dalam siasatan itu.

Difahamkan penyiasat SPRM baru-baru ini pergi ke Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) bawah Jabatan Perdana Menteri, Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Kementerian Pertahanan (Kementah) bagi mengumpulkan dokumen berkenaan urusan “land swap” yang ditonjolkan dalam laporan rasuah Kementah baru-baru ini.

UKAS adalah sebuah unit untuk menerajui kerjasama antara agensi kerajaan dan sektor swasta.

Bulan lepas, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu mendakwa 13 daripada 16 “land swap” berlaku semasa pentadbiran lepas melibatkan Hishammuddin serta bekas perdana menteri, Najib Razak.

Siasatan dalaman mendapati kerajaan kerugian lebih RM500 juta kerana “land swap” itu, yang didakwa terdapat percanggahan seperti tanah-tanah dijual pada harga lebih rendah serta kepada pemaju-pemaju yang tidak layak.

Kementah membuat laporan kepada SPRM mengenai 2 projek melibatkan pembinaan kem tentera di Paloh, Johor dan Hutan Melintang, Perak.

SPRM baru-baru ini menyaksikan ketua pesuruhjaya Mohd Shukri Abdull digantikan dengan peguam, Latheefa Koya, keputusan yang mengundang pelbagai reaksi daripada ahli-ahli politik dan aktivis.

Sementara itu, Latheefa bertemu Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador di Bukit Aman hari ini bagi membincangkan hubungan kerjasama antara kedua-dua pasukan.

 



Comments
Loading...