Najib marah selepas tahu wang dipindah ke akaunnya, saksi beritahu mahkamah


(FMT) – Seorang saksi dalam perbicaraan rasuah dan penyalahgunaan kuasa Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, bekas perdana menteri itu terkejut selepas tahu seseorang memindahkan wang ke akaun peribadinya.

Pengarah Urusan Ihsan Perdana, Shamsul Anwar Sulaiman berkata beliau menemui Najib di kediaman persendiriannya pada hari ke-3 Aidilfitri 2015, sejurus selepas beliau dibebaskan daripada tahanan susulan satu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

“Beliau terkejut seseorang memasukkan wang ke akaunnya dan tidak tahu siapa orangnya. Beliau marah,” kata saksi ke-37 ketika pemeriksaan balas oleh peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah.

Shamsul berkata, berdasarkan tingkah laku Najib, beliau membuat kesimpulan reaksi ahli Parlimen Pekan itu adalah tulen.

“Bagaimanapun, kami tidak bincang lanjut tentang perkara itu.”

Shamsul berkata, beliau sudah meminta maaf kepada Najib kerana Ihsan Perdana ialah syarikat terakhir yang memindahkan wang ke dalam akaunnya di Ambank cawangan Jalan Raja Chulan.

Katanya, beliau tidak percaya Najib melakukan perkara tidak wajar ketika memegang jawatan dalam kerajaan.

“Beliau serius dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan sentiasa menggalakkan saya dalam kerja sedemikian.”

Shamsul Anwar Sulaiman ialah saksi ke-37 perbicaraan rasuah dan penyalahgunaan kuasa Najib Razak.
Najib berdepan 6 pertuduhan pengubahan wang dan pecah amanah dalam pemindahan RM42 juta ke akaunnya daripada SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.

Beliau turut didakwa menyalahgunakan kuasa sebagai perdana menteri dengan memberi jaminan kerajaan ke atas pinjaman RM4 bilion SRC International daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Pada 15 Mei lalu, Shamsul memberitahu mahkamah yang akaun bank Ihsan Perdana digunakan sebagai akaun transit untuk menyimpan wang sebelum dipindahkan.

Ini termasuk RM42 juta yang kemudiannya dimasukkan ke 2 akaun dengan 4 nombor terakhir 1880 dan 1906 di AmPrivate Banking-1MY yang didaftarkan di bawah nama Najib.

Shamsul berkata, Pengarah Projek Yayasan Rakyat 1Malaysia, Dennis See sudah meminta syarikatnya memasukkan wang itu ke akaun Najib, tetapi beliau enggan mendedahkan identiti benefisiarinya.

Hari ini, beliau menegaskan syariaktnya tidak akan menghantar wang itu jika beliau tahu ia adalah akaun Najib.

Terdahulu, beberapa saksi pendakwaan dilaporkan berkata, RM50 juta daripada Gandingan Mentari Sdn Bhd Bhd, sebuah anak syarikat SRC, dan dimasukkan ke akaun Ihsan Perdana.

Shamsul berkata, beliau tidak tahu siapa yang memasukkan RM50 juta ke akaun bank Ihsan Perdana.

Dalam pemeriksaan balas lanjut oleh Shafee, beliau berkata, pegawai SPRM ketika siasatan mencadangkan beliau melakukan kesalahan seperti bersubahat dan pecah amanah.

“Mereka turut mencadangkan wang yang diterima Najib bukan untuk projek CSR.”

Shamsul berkata, SPRM turut mengingatkan beliau mungkin didakwa.

“Tetapi, saya beritahu kebenaran kepada SPRM dan saya tidak berganjak. Mereka juga mahu membabitkan beberapa orang, termasuk Najib.”

Dalam pemeriksaan semula oleh timbalan pendakwa raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, Shamsul berkata, Najib tidak meminta beliau membuat laporan kepada SPRM atau polis selepas pertemuan mereka.

Perbicaraan diteruskan di depan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

 



Comments
Loading...