Umno, PAS wujudkan piagam lepas raya


(Mkini) – UMNO dan PAS bakal diperkukuhkan lagi dengan bentuk yang lebih rasmi selepas mementerai satu piagam kerjasama, tidak lama lagi.

Perkara itu didedahkan oleh Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa yang menjangkakan piagam tersebut akan terlaksana selepas hari raya Aidil Fitri nanti.

Menurut beliau, pembentukan piagam tersebut kini dalam penelitian akhir jawatankuasa tertinggi kedua-dua parti.

“Selepas hari raya ini dijangkakan Umno dan PAS akan mementerai piagam bersama yang sekarang ini sedang dalam penelitian akhir jawatankuasa tertinggi Umno dan PAS.

“Sekarang taawun, kita kena secara berperingkat-peringkat. Mula-mula kerjasama tak bertulis, kemudian datang tiga empat pilihan raya kita nampak (kerjasama) berjalan dengan baik.

“Jadi sekarang pimpinan Umno dan PAS merasakan elok dibuat secara lebih rasmi. Jadi presiden kedua-dua parti minta ditubuhkan jawatankuasa induk untuk bekerjasama dan membentuk jawatankuasa teknikal yang diusetia oleh saya dan setiausaha agung PAS telah buat pengesyoran draf satu bentuk piagam bersama,” katanya kepada media, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri program Pemuda dan Puteri Cakna Asnaf peringkat parlimen Ketereh di Kota Bharu, hari ini.

Sebagai rekod, Umno dan PAS mejalinkan kerjasama (taawun) secara terbuka khususnya dalam menghadapi pilihan raya kecil selepas kekalahan BN pada PRU14 lalu.

Malah, Presiden PAS Abdul Hadi Awang sebelum ini turut memberi gambaran bahawa kedua-dua parti itu kemungkinan akan bergabung bagi mengahapi PRU15.

Sementara itu Annuar yang juga anggota parlimen Ketereh berkata, draf piagam bersama itu kini sudah dikemukakan kepada pimpinan tertinggi parti masing-masing untuk tindakan selanjutnya.

“Dengan adanya kerangka taawun secara bertulis ini ia (kerjasama) akan jadi lebih teratur, bukan hanya di peringkat nasional tetapi juga di peringkat negeri dan bahagian.

“Dalam dokumen itu, yang agak panjang bersama satu piagam. Ini untuk memberi gambaran bahawa Umno dan PAS serius.

“Tetapi itu hanya permulaan iaitu bermula dengan Umno dan PAS (bekerjasama) untuk mengembalikan solidariti politik orang Melayu dan Islam.

“Tetapi ia tidak boleh terhenti di situ kerana politik kita adalah politik majmuk, ini satu muafakat nasional besar yang diperlukan, cuma dimulakan oleh Umno dan PAS,” katanya.

Tambah beliau, pada peringkat seterusnya kerjasama sama dengan pihak-pihak lain juga akan diperkukuhkan masa ada melibatkan parti boleh atau badan bukan kerajaan (NGO)

“Kita mahu membentuk satu kerangka yang besar yang benar-benar boleh menyelamatkan negara, ini penting kerana kegagalan PH tidak boleh dibiarkan rakyat yang menanggung, jadi kita kena ambil tanggungjawab,” kata Annuar.

 



Comments
Loading...