Kit Siang selesai kes saman Hanif Omar luar makhamah, macam kes Hadi-Clare


(FMT) – Pihak dalam kes saman fitnah pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang terhadap bekas ketua polis negara Mohammed Hanif Omar, akan berbincang untuk menyelesaikan kes di luar mahkamah.

Peguam Rayveni Asogan, yang mewakili Lim, berkata demikian selepas pengurusan kes itu dalam kamar Hakim Azimah Omar.

“Mahkamah menetapkan 24 Jun ini sebagai tarikh pengurusan kes akhir bagi kedua-dua pihak untuk kemas kini dengan mahkamah sama ada pihak terbabit ada untuk menyelesaikan kes di luar mahkamah.

“Kedua-dua pihak terbuka untuk penyelesaian tetapi ia bergantung kepada syarat penyelesaian. Jika gagal capai kesepakatan (untuk penyelesaian luar mahkamah) mahkamah akan teruskan dengan penetapan tarikh perbicaraan,” katanya ketika ditemui pemberita di luar mahkamah.

Peguam Janani Kumari yang mewakili Hanif turut hadir pada prosiding itu.

Pada 17 Okt tahun lepas, Lim sebagai plaintif menyaman Hanif selaku defendan atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah ketika berucap pada Konvensyen Karamah Bangsa di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam pada 6 Sept 2018, yang diterbitkan dan disiarkan akhbar Sinar Harian, hari yang sama.

Dalam pernyataan tuntutannya, ahli Parlimen Iskandar Puteri, Johor Bahru itu mendakwa defendan juga secara salah dan berniat jahat menyebabkan kata-kata fitnah itu disiarkan di dalam portal berita Malaysiakini dan Free Malaysia Today pada hari sama (6 Sept) dan keesokannya.

Pemimpin Kanan DAP itu mendakwa kata-kata fitnah berkenaan antara lain membawa maksud beliau bertanggungjawab dan berniat mengarahkan DAP untuk memisahkan atau membahagikan Semenanjung Malaysia kepada 2 bahagian berdasarkan kaum dan berniat untuk memecahkan kaum Melayu dan Cina.

Lim turut mendakwa kata-kata fitnah itu menyebabkan reputasinya selaku ahli Parlimen dan orang kenamaan terjejas.

Dakwanya, satu surat bertarikh 12 Sept dihantar supaya defendan menarik balik kata-kata fitnah serta memohon maaf, namun peguam defendan menjawab surat berkenaan dan menafikan kata-kata fitnah itu terhadap plaintif.

Oleh itu, plaintif menuntut defendan mengemukakan permohonan maaf dan menarik balik kata-kata fitnah itu selain menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan serta satu perintah injunksi bagi menghalang defendan atau ejennya daripada mengulangi atau menerbitkan semula kata-kata fitnah berkenaan.

 



Comments
Loading...