Pejabat Menteri Pertahanan lapor SPRM


Pejabat Menteri Pertahanan hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung 14 kes pertukaran tanah atau ‘land swap’ di Kementerian Pertahanan sebelum ini.

(BH) – Laporan dibuat oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas Kepada Menteri Pertahanan, Mohd Nasaie Ismail, di Ibu Pejabat SPRM di sini, jam 10 pagi tadi.

Laporan itu dibuat susulan hasil Laporan Siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) diketuai bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang terhadap keseluruhan 16 kes land swap di kementerian terbabit.

Difahamkan, antara senarai 14 projek pembangunan melalui kaedah land swap itu termasuk projek penswastaan Kem Transit dan Kem Rejimen 502 Askar Wataniah di Kuala Lumpur yang terlewat 11 tahun untuk disiapkan.

Laporan dibuat oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas Kepada Menteri Pertahanan, Mohd Nasaie Ismail, di Ibu Pejabat SPRM di sini, pada jam 10 pagi tadi.

Mohd Nasaie berkata, laporan terbaharu itu dibuat susulan laporan awal yang diserahkan kepada SPRM pada 21 Februari lalu, membabitkan dua kes land swap di Kementerian Pertahanan iaitu pembinaan Kem Paloh di Johor dan Kem Hutan Melintang, Perak.

“Dalam dua kes terdahulu yang dilaporkan, SPRM sudah menjalankan siasatan serta memanggil beberapa saksi.

“Hari ini, kita mengemukakan senarai 14 lagi kes land swap di bawah Kementerian Pertahanan selepas ia didedahkan menerusi laporan JKSTUPKK,” katanya ketika ditemui media di ibu pejabat SPRM di sini, hari ini.

Mohd Nasaie berkata, laporan dibuat berikutan kesemua kes berkenaan menyebabkan kerajaan kerugian RM515.31 juta berdasarkan perlanjutan masa projek yang gagal disiapkan segera.

Katanya, kerugian juga disebabkan kontrak tambahan yang tidak termasuk dalam perancangan dan penetapan nilai tanah gantian lebih rendah daripada harga semasa berdasarkan penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

GAMBAR fail, Pegawai Tugas-Tugas Khas Kepada Menteri Pertahanan, Mohd Nasaie Ismail ketika sidang media berhubung isu land swap yang telah menyebabkan kerajaan kerugian lebih RM500 juta di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 21 Februari lalu. – Foto Ahmad Irham Mohd Noor

“Kebimbangan kita, kerajaan bukan setakat kerugian nilai wang, malah kedudukan strategik pertahanan negara terjejas disebabkan kegagalan semua projek berkenaan.

“Atas semangat mempertahankan kedaulatan negara dan perkara sama tidak berulang di bawah pentadbiran baharu, maka laporan ini dibuat kepada SPRM untuk tindakan lanjut,” katanya.

Khamis lalu, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dilaporkan berkata, laporan JKSTUPKK berhubung projek land swap Kementerian Pertahanan sebelum ini, mendapati wujud campur tangan keterlaluan demi kepentingan politik.

Beliau dilaporkan berkata, siasatan mendapati wujud campur tangan bekas Perdana Menteri dan bekas Menteri Pertahanan dalam 13 daripada 16 projek yang dijalankan, namun beliau tidak menyebut sebarang nama.

Keseluruhan 16 projek land swap itu membabitkan 1,169 hektar tanah milik Persekutuan bernilai RM4.7 bilion dan nilai projek yang sepatutnya dibangunkan ialah RM4.8 bilion, namun sehingga Disember 2018 hanya lima projek disiapkan, dua dalam pembinaan dan baki sembilan gagal disiapkan atau dalam proses untuk ditandatangani.



Comments
Loading...