Statut Rom: Malangnya mereka silap lagi – Tun Abdul Hamid


Kedua belah pihak melakukannya atas alasan yang salah dan mengelirukan orang ramai untuk menyokong pihak masing-masing.

www.tunabdulhamid.my 

WALAUPUN kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah memutuskan dan mengisytiharkan tidak akan meneruskan cadangan meratifikasi Statut Rom, pihak yang mahukan kerajaan meratifikasinya dan pihak yang menentangnya masih berusaha untuk mendapat sokongan bagi pihak masing-masing.

Banyak masa, wang dan tenaga dihabiskan kedua pihak bagi mengadakan forum dan perhimpunan untuk mendapat sokongan masing-masing.

Satu pihak bermati-matian mahukan ratifikasi. Satu pihak lagi bermati-matian menentangnya. Masing-masing berjuang seolah ia suatu perkara yang sangat penting bagi negara meratifikasinya, atau sebaliknya.

Lebih menyedihkan, kedua belah pihak melakukannya atas alasan yang salah dan mengelirukan orang ramai untuk menyokong pihak masing-masing.

Ini satu misalan bagaimana rakyat Malaysia menghabiskan tenaga, wang dan masa mengenai perkara yang tidak sepatutnya dijadikan isu yang begitu besar.

Apatah lagi ahli politik Malaysia. Mereka seolah tidak tahu memilih apa isu yang lebih penting kepada negara dan apa yang kurang penting untuk melibatkan orang ramai.

Dalam isu ini, rakyat Amerika Syarikat (AS) yang kerajaannya begitu keras menentang Statut Rom pun tidak mengadakan perhimpunan untuk menentangnya.

Demikian juga dengan rakyat semua negara jiran kita, Singapura, Thailand, Indonesia, Brunei dan Filipina. Mereka juga tidak mengambil kisah. Mungkin mereka hairan mengapa rakyat Malaysia, terutama sekali ahli politiknya, menganggap dan menjadikannya satu isu yang begitu penting.

Sekarang ini isu yang menjadi perbalahan tertumpu kepada satu: kesannya ke atas raja-raja.

Mari kita lihat di mana salahnya alasan masing-masing. Kita lihat kepada penyokong ratifikasi dahulu. Mula-mula, mereka memberi alasan Statut Rom tidak menjejaskan kekebalan raja-raja.

Saya telah menghujahkan bahawa kenyataan itu tidak betul. Statut Rom tidak mengiktiraf kekebalan sesiapa melainkan orang yang berumur di bawah 18 tahun.

Mereka juga keliru antara kekebalan dengan tanggungjawab apabila berhujah mengenai raja berperlembagaan. YDPA tidak boleh dihadapkan ke ICC bagi apa yang dilakukan oleh Jemaah Menteri.

Itu betul, tetapi, itu bukan kerana kekebalan YDPA, tetapi kerana bukan YDPA yang melakukan kesalahan itu. Saya percaya atas alasan itulah, negara raja berperlembagaan di Eropah, termasuk England, meratifikasinya.

Sebaliknya, jika YDPA atau raja-raja yang melakukannya, baginda tetap boleh dihadapkan ke ICC. Lihat Statut Rom: Patutkah Kita Menerimanya? (22-03-2019) dalam laman web saya.

Sama ada pihak pro-ratifikasi itu telah membaca rencana saya itu atau tidak saya tidak tahu. Tetapi, sekarang penyokokong ratifikasi menggunakan hujah bahawa hanya raja yang memukul orang yang menentang ratifikasi Statut Rom. (Perdana Menteri juga berhujah demikian).

Malangnya, mereka silap lagi. Mereka betul setakat yang mengatakan raja-raja boleh dihadapkan ke ICC jika mereka sendiri yang melakukan kesalahan. Tetapi, mereka silap kerana kesalahan raja memukul seseorang itu bukanlah kesalahan di bawah Statut Rom.

Ia hanya kesalahan jenayah biasa. Memberi satu misalan, membunuh per se (semata-mata), bukanlah satu kesalahan “genocide” di bawah Statut Rome. Ia hanya menjadi “genocide” jika ia “dilakukan dengan niat untuk memusnahkan, keseluruhan atau sebahagian, kumpulan bangsa, etnik, kaum atau agama.”

Adalah amat menghairankan, begitu banyak peguam, yang menjadi penyokong kedua belah pihak, tidak boleh nampak point sejelas itu. Dan mereka terus mengelirukan orang ramai.

Dilaporkan juga, seorang profesor, pakar undang-undang perlembagaan, menghujahkan bahawa dengan meratifikasikan Statut Rom, Malaysia boleh mengadu mengenai kesalahan Israel terhadap Palestin. Itu juga silap.

Bagaimana Malaysia hendak berbuat demikian sedangkan Israel tidak menjadi negara pihak (tidak merarifikasinya)? (Lihat Perkara 12 (a) Statut Rom). Lagi pula, AS terang-terang menyatakan ia tidak akan nmembenarkan siasatan dilakukan terhadap Israel.

Adalah menghairankan mengapa penyokong ratifikasi Statut Rom bersungguh-sungguh mahukan Malaysia meratifikasinya sedangkan negara besar seperti AS, Russia, China, India dan semua jiran kita menolaknya. Apakah tujuan mereka?

Sekarang, kita lihat pula ke sebelah lagi.

Pertama, perlu ditegaskan bahawa Statut Rom tidak boleh disamakan dengan ICERD. Statut Rome tidak ada kena mengena dengan hak keistimewaan orang Melayu dan diskriminasi berasaskan kaum.

Ia juga tidak berkenaan dengan kedudukan agama Islam. Maka, kedua-dua alasan itu tidak sepatutnya digunakan sebagai alasan menentangnya.

Elok juga disebut bahawa saya tidak tahu pendapat dan hujah yang diberikan oleh empat profesor undang-undang yang dipanggil untuk menasihati raja-raja itu. Maka, saya tidak akan mengulas mengenainya.

Dari mula hingga sekarang, kumpulan yang menentang Statut Rom menggunakan alasan ia akan meletakkan raja-raja di bawah ICC. Entah siapa yang menasihatkan mereka, mereka nampak seolah tidak dapat membezakan kedudukan raja berkuasa mutlak dengan raja berperlembagaan.

Walaupun seawal 22 Mac 2019 saya telah menjelaskan kedudukan raja berperlembagaan, tidak diketahui sama ada mereka membaca dan memahaminya.

Daripada kenyataan yang dikeluarkan, nampak seolah mereka tidak membaca, tidak memahami atau tidak bersetuju dengannya. Maka, mereka masih bercakap mengenai kesannya kepada raja-raja secara umum, bukan jika raja-raja itu sendiri yang melakukan kesalahan itu.

Maka, mereka menggunakan perpaduan ummah bagi menarik orang Melayu/Islam untuk menyertai perhimpunan menentangnya.

Saya tidak mahu orang ramai terkeliru. Sebab itulah saya menulis rencana ini. Isunya sekarang ialah, jika raja-raja sendiri melakukan kesalahan di bawah Statut Rom itu, penentang ratifikasi Statut Rom itu mahu raja-raja itu dibicarakan oleh ICC atau tidak? Itu sahaja isunya. Saya serahkan kepada kebijaksanaan mereka.

Penganjur perhimpunan patut faham isu sebenar dan menjelaskan kepada orang ramai supaya mereka dapat membuat pertimbangan sendiri sama ada berbaloi atau tidak bagi mereka menghabiskan masa, tenaga dan wang ringgit untuk menyertainya. Orang ramai tidak sepatutnya dikelirukan, sama ada sengaja atau tidak.

Kesimpulannya, isunya ialah apakah faedahnya jika Malaysia meratifikasinya? Sebaliknya, jika raja-raja melakukan kesalahan itu, kita mahu atau tidak mereka dibicarakan oleh ICC? Itu sahaja.

Maka, perlukah kedua belah pihak menghabiskan masa, tenaga, wang ringgit dan melibatkan orang ramai untuk menyokong pendirian masing-masing?



Comments
Loading...