Pulau Pinang mahu perkongsian kuasa dikaji semula


(Berita Harian) – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini diberitahu, kerajaan negeri mencadangkan perkongsian kuasa antara kerajaan persekutuan dan negeri dapat dikaji semula, untuk desentralisasikan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata banyak perkara perlu dikaji semula, bagi menjadikan perkongsian kuasa antara kerajaan persekutuan dan negeri lebih adil, saksama, dan berkesan demi pembangunan jangka masa panjang Pulau Pinang.

Katanya, negeri itu sering dipinggirkan dalam pelbagai perkara sejak 11 tahun lalu, daripada sebarang penganjuran acara-acara berskala besar, sehinggalah membabitkan permohonan peruntukan, yang sering kali dipandang sepi kerajaan persekutuan terdahulu.

“Mengikut statistik yang pernah dikeluarkan oleh IDEAS, Pulau Pinang berada di kedudukan ketiga terakhir, iaitu sebelum negeri Melaka dan Perlis, untuk pemberian yang diterima daripada kerajaan persekutuan pada tahun 2016.

“Pulau Pinang hanya menerima RM216 juta iaitu 3.8 peratus daripada keseluruhan peruntukan yang diberikan,” katanya ketika menggulung perbahasan ucapan terima kasih Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas pada persidangan DUN, di sini hari ini.

Bagaimanapun, Kon Yeow berkata, perkongsian kuasa itu tidak bermakna kerajaan negeri boleh mengubah sesuatu perkara dengan sewenang-wenangnya, kerana masih tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, tanggapan bahawa Pulau Pinang adalah negeri yang maju, kaya dan tidak perlu dibantu seharusnya dibuang oleh kerajaan persekutuan.

“Kita tidak dapat nafikan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang menerima peruntukan yang amat kecil, sejak tahun 2008 khususnya berkaitan dengan projek-projek infrastruktur, kemudahan awam, pelancongan dan lain-lain.

“Justeru, saya amat berharap agar kerajaan persekutuan pada ketika ini dapat meneliti semula kaedah pengagihan peruntukan ini, agar Pulau Pinang turut sama mengecapi kemakmuran negara,” katanya.

Mengulas mengenai saranan Abdul Rahman supaya kerajaan negeri membina bangunan DUN yang baharu, dan turut menempatkan pusat pentadbiran kerajaan negeri dalam satu kompleks, Kon Yeow berkata, buat masa ini tiada sebarang keputusan dibuat, dan perkara itu akan dibawa untuk perbincangan kerajaan negeri kelak.

“Saranan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang ini adalah satu perkara yang baharu. Perkara ini perlu dibawa dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk perbincangan, sebelum kita boleh menetapkan hala tuju. Saya tahu semua setuju, tapi saya harap kerajaan persekutuan pun bersetuju dengan permohonan kita,” katanya.

Sidang DUN Pulau Pinang yang berlangsung sejak 26 April lepas, ditangguhkan hari ini ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Sepanjang persidangan lima hari itu, sebanyak 80 soalan lisan, 613 soalan bertulis dan dua usul dikemukakan.

Usul penubuhan Akaun Amanah Kumpulan Wang Amanah Khas Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) diluluskan tanpa bahas, manakala usul cadangan lantikan baharu dan pelantikan semula Ahli Lembaga Rayuan di bawah Enakmen Kebebasan Maklumat Negeri Pulau Pinang 2010, bagi tempoh dua tahun mulai 1 Jun 2019 hingga 31 Mei 2021 dibahas dan diluluskan.

 



Comments
Loading...