Sultan Johor sedia serah tanah Bukit Chagar dengan satu syarat


(FMT) – Sultan Johor merakamkan rasa kecewa berkaitan satu laporan yang mengisyaratkan bahawa hak milik ke atas 1 lot tanah yang terlibat dalam pembinaan Sistem Aliran Transit (RTS) yang menghubungkan Johor Bahru dengan Singapura telah dipindahkan kepadanya.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkata, beliau tidak pernah dimaklumkan tentang apa-apa perubahan ke atas hak milik tanah seluas 4.5 hektar itu, yang merupakan 1 daripada 5 lot tanah yang terlibat dalam perjanjian tukar tanah antara kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan.

“Namun begitu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor telah bertitah bahawa sekiranya benar tanah milik Baginda Tuanku di Bukit Chagar tersebut terlibat untuk projek RTS, maka Baginda Tuanku berkenan untuk menyerahkan tanah yang terlibat kepada kerajaan tanpa sebarang kos,” kata satu kenyataan yang dikeluarkan oleh setiausaha sulit Sultan Johor, Jaba Mohd Noah.

“Dengan syarat projek RTS ini mestilah diteruskan dengan segera kerana Baginda Tuanku amat memahami derita rakyat yang terpaksa berulang-alik ke Singapura,” tambah kenyataan itu.

 



Comments
Loading...