Anwar Ibrahim memang benci Hadi Awang semenjak zaman ABIM lagi


(Malaysian Gazette) – Pas mengambil sikap terbuka dan mengalu-alukan pendedahan yang ingin dibuat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai parti itu.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, terpulanglah kepada Anwar untuk mendedahkan apa-apa sahaja isu mengenai parti itu dan tidak boleh menjawab selagi tiada sebarang pendedahan dibuat.

“Sila, biar dia (Anwar) dedah dululah, baru boleh jawab. Dia tak dedah kita tak boleh nak jawab.

“Kita bersedia, memang kita nak tahu apa kita punya kelemahan, kita terbuka,” katanya dalam satu video milik Hadi di Telegram.

Hadi berkata demikian selepas Majlis Makan Malam Meraikan Rombongan Kerajaan Kelantan Ke Negeri Terengganu di Duyong Convention Marina & Resort, Pulau Duyong, Kuala Terengganu, Terengganu.

Anwar yang juga bekas sekutu Pas itu berkata, dirinya mahu mendedahkan rahsia pembohongan Pas kepada umum, ketika bercakap di Kelantan, beberapa hari lalu.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, beliau akan terus membongkar “penipuan” yang dilakukan pemimpin Pas selepas isu pembayaran wang RM1.4 juta kepada pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown baru-baru ini.

“Tunggu masa, saya bongkar cerita sikit-sikit, koho- koho (perlahan-lahan). Tak boleh deras (cepat) semua sekali.

“Jadi saya terangkan masalah kes ini dulu,” katanya ketika berceramah pada program Bicara Perdana di Tanah Merah, pada 28 April lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Hadi berkata, rakyat sendiri boleh menilai bagaimana manifesto yang diwar-warkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, lalu.

Bahkan, katanya rakyat kini boleh meletakkan peratusan terendah kepada apa yang telah dilaksanakan dalam tempoh setahun pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

“Saya rasa mereka sendiri tak sangka, mereka mampu laksanakan itu. Itu terpulang kepada mereka.

“Kita laksanakan apa yang kita janji. Kita tak bertanggungjawab apa yang mereka janji,” jelasnya lagi.

PH akan menyambut ulangtahun pertama pemerintahan di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad setelah berjaya merampas Putrajaya daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 9 Mei lalu.

 



Comments
Loading...