Tahun 2016 Mahathir minta Majlis Raja-Raja pecat PM, hari ini cakap lain pula


Mahathir minta Majlis Raja-Raja pecat Najib

(5 Okt 2016) – Bekas pemimpin Malaysia, Mahathir Mohamad pada Rabu berkata beliau telah meminta sembilan sultan dan empat gabenor negara itu untuk memecat Perdana Menteri Najib Razak berikutan skandal yang melibatkan berbilion dolar dalam dana negara.

Mahathir berkata, permintaannya itu adalah wajar berikutan pertemuan ‘tidak meyakinkan’ beliau dengan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim pada September, di mana beliau menyampaikan “Deklarasi Rakyat” yang ditandatangani oleh 1.2 juta rakyat Malaysia yang menggesa Najib meletakkan jawatan setelah didakwa terlibat dalam skandal yang dikaitkan dengan dana negara bermasalah 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang dipengerusikan oleh Najib.

“Kami sedang membuat rayuan kepada raja-raja untuk menimbangkan rayuan kami supaya mengambil tindakan terhadap salah laku Najib. Kami ingin tahu jika raja-raja mempunyai pendapat mengenai 1Malaysia Development Berhad dan tindakan undang-undang DOJ AS, “kata Dr Mahathir pada sidang berita Rabu di Yayasan Perdana di Putrajaya.

Pada Julai lalu, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) memfailkan dua belas saman undang-undang bagi mendapatkan kembali asset bernilai lebih $1 bilion yang dikatakannya hilang daripada 1MDB dan diubah secara haram melalui institusi kewangan Amerika.

Najib telah menafikan salah laku atau mengambil wang untuk kepentingan peribadi dalam urusan 1MDB.

“Saman sivil yang dikemukakan oleh Jabatan Kehakiman AS mengenai 1MDB harus diberi ruang dan peluang untuk melaksanakan proses kehakiman. Mana-mana individu yang telah dinamakan perlu membersihkan nama mereka sendiri, “kata Najib dalam laman Facebook beliau pada akhir Julai.

“Kerajaan akan memberi kerjasama penuh dalam kes ini dan, Insya-Allah, lambat laun kita akan mengetahui kebenarannya. Seperti yang sering ditekankan, kerajaan akan memastikan bahawa tidak ada wang awam yang disalahgunakan, “katanya.

Kempen deklarasi rakyat itu dilancarkan oleh Mahathir dan 40 yang lain pada Mac lalu dengan menyeru rakyat Malaysia supaya menyertai usaha untuk menyingkirkan Najib dari jawatannya menerusi cara-cara aman.

Mahathir berkata, beliau telah berjanji dengan semua yang menandatangani deklarasi itu bahawa beliau akan menghantar surat mengenainya kepada sultan dan gabenor yang mewakili 13 negeri di Malaysia serta merangkumi Majlis Raja-Raja negara. Majlis itu dijadual mengadakan mesyuaratnya minggu depan.

Pejabat Perdana Menteri, jurucakap parti gabungan Barisan Nasional Rahman Dahlan, dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Mohamed Nazri Abdul Aziz tidak memberi jawapan segera ketika diminta mengulas mengenai pengumuman Mahathir.

Kuasa?

Ia tidak jelas sama ada Majlis Raja-Raja mempunyai kuasa untuk memecat Perdana Menteri negara itu.

“Perlembagaan memperuntukkan bahawa dalam melaksanakan fungsinya, Yang di-Pertuan Agong secara amnya perlu mengikut nasihat Perdana Menteri atau Kabinet,” menurut satu artikel mengenai eksekutif Malaysia yang disiarkan dalam laman web Majlis Peguam Malaysia.

Para peguam Mahathir mendakwa bahawa perlembagaan Malaysia tidak memberikan kuasa itu kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Orang ramai telah mempersoalkan sama ada Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk memecat atau mengambil tindakan terhadap pemimpin parti pemerintah semasa. Pada pandangan saya, jawapan kepada persoalan ini terkandung dalam perlembagaan itu sendiri – undang-undang tertinggi negara,” kata peguam utama Mahathir, Mohamed Haniff Khatri Abdulla baru-baru ini.

“Perkara 40 (2) (a) menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya melantik seorang Perdana Menteri. Ya, ia tidak menyentuh tentang kuasa untuk memecat perdana menteri, “kata Haniff kepada BeritaBenar selepas forum mengenai topik berkenaan  di Kuala Lumpur pada 30 Sept lalu.

Tetapi, menurut Haniff, Seksyen 29 Jadual ke-11 dalam perlembagaan menyebut ” undang-undang bertulis menyatakan bagi individu atau pihak yang diberi kuasa membuat pelantikan bagi mana-mana jawatan, kuasa yang sama hendaklah ditafsirkan sebagai termasuk kuasa untuk memecat atau menggantung kerja individu yang dilantik dan melantik orang lain buat sementara bagi menggantikan individu yang digantung itu.”

Bekas menteri undang-undang de-facto Nazri Aziz, yang menolak tafsiran Haniff, berkata,  Yang di-Pertuan Agong hanya boleh memecat seseorang Perdana Menteri jika beliau kehilangan sokongan majoriti di Parlimen.

“Dalam perlembagaan  menyatakan bahawa Agong melantik seorang perdana menteri berdasarkan sokongan yang diterima di Parlimen. Selagi PM ada sokongan majoriti Ahli Parlimen, beliau tidak boleh dipecat.

“Agong tidak boleh sewenangnya memecat perdana menteri seperti bersiar-siar di taman. Kita mesti mengikut prosedur yang betul, proses itu perlu dimulakan di Parlimen,” Nazri dipetik sebagai berkata dalam laporan Free Malaysia Today.

Sembilan Sultan Malaysia bergilir-gilir menjadi Yang di-Pertuan Agong berperlembagaan di negara itu di bawah satu sistem penggiliran unik yang diperkenalkan pada akhir pemerintahan penjajah British pada 1950-an.

Tahun lepas, dalam ulasan yang jarang sekali dibuat, raja-raja telah memerintahkan supaya siasatan yang pantas dan telus dibuat terhadap 1MDB yang bermasalah, dan bertitah bahawa kegagalan kerajaan untuk memberikan jawapan yang meyakinkan mengenai skandal itu mungkin telah menyebabkan “krisis keyakinan.”

Mahathir bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong pada 15 Sept lalu untuk membincangkan gesaan supaya Najib disingkirkan daripada jawatan. Mesyuarat itu berlangsung lebih daripada sejam di istana di negeri utara Malaysia, Kedah.

“Tetapi akhirnya, saya tidak dapat meyakinkan raja,” kata Mahathir pada Rabu.

“Saya tidak boleh ulang apa yang dititahkan baginda kerana ia adalah rahsia. Apa yang kami minta tidak boleh dilaksanakan. Mengapa? Jangan tanya saya. Mungkin baginda fikir baginda tidak mempunyai kuasa, “kata Mahathir.



Comments
Loading...