Saya tak akan khianati negara bila jadi PM, kata Anwar


(FMT) – Presiden PKR Anwar Ibrahim memberi jaminan beliau akan meneruskan agenda untuk membangunkan negara serta akan membantu rakyat terutama yang miskin apabila beliau dilantik menjadi perdana menteri ke-8 nanti.

Beliau berkata apabila tiba masanya nanti apabila menjawat jawatan itu, beliau akan memastikan negara akan terus maju dan dihormati dunia setelah dirosakkan kerajaan terdahulu.

“Saya tidak akan mengkhianati negara apabila menggalas jawatan itu nanti. Sekarang ini biarlah Tun Dr Mahathir Mohamad diberi peluang untuk membetulkan keadaan negara.

“Bangsa Melayu dan agama Islam akan tetap didaulatkan dan saya sendiri akan memastikan hal-hal berkaitan rasuah sama sekali tidak akan berlaku,” katanya ketika berucap pada Program Bicara Perdana di Kampung Padang Siam, malam tadi.

Turut hadir Pengerusi PKR Kelantan Suparadi Md Noor dan Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan Husam Musa.

“Bangsa dan negara sama sekali tidak akan dirosakkan seperti apa yang berlaku sebelum ini,” katanya.

Anwar berkata rakyat perlu mengetahui Umno sebenarnya yang merosakkan bangsa Melayu dan negara selama ini.

“Ini kerajaan PH yang berusaha dengan sebaik mungkin untuk kembali memulihkan keadaan negara,” katanya.

Anwar berkata beliau sama sekali tidak boleh bertolak ansur dengan perkara yang boleh membawa keburukan seperti rasuah.

Mengulas mengenai PAS, Anwar berharap penyokong parti itu perlu memikirkan sedalam-dalamnya adakah parti itu mampu membawa negara ke era yang lebih baik apabila bersama Umno.

“Saya bukan mahu bermusuh dengan PAS tetapi saya mahu rakyat dan penyokong parti itu perlu mengetahui apa yang berlaku di dalam PAS itu sendiri.

“Saya hairan kenapa PAS boleh berbaik dengan Umno yang merosakkan negara ini dan saya yakin mereka ada agenda tertentu untuk berbaik,” katanya.



Comments
Loading...