Sistem cukai negara mungkin akan ditukar – Dr. Mahathir


(Utusan) – Kerajaan akan melihat kemungkinan untuk menukar sistem percukaian di negara ini dalam usaha menggalakkan penggunaan produk tempatan, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berpendapat, polisi kerajaan ketika ini dilihat lebih menggalakkan import berbanding eksport.

“Ada rakyat Malaysia memandang rendah pencapaian kita sendiri. Jika kita buat kereta di Malaysia, ia akan menjadi kereta paling teruk berbanding kereta buatan luar. Disebabkan itu banyak duit keluar sedangkan kita ada kemahiran bukan sahaja membina kereta api malah kapal terbang dibina si sini. Jadi keupayaan itu ada.

“Saya tidak tahu kenapa kerajaan mempunyai dasar yang dilihat menggalakkan import berbanding eksport. Kita tidak berkhidmat dengan negara kita sendiri (menerusi polisi ini) jadi kita perlu menukar dasar kerajaan. Ini akan melibatkan perancangan dalam menstrukturkan semula cukai melibatkan industri-industri tertentu,” katanya dalam sesi soal jawap selepas merasmikan pembukaan Pameran Technomart Rel 2019 di sini hari ini.

Mengulas lanjut Dr. Mahathir menjelaskan, menerusi pendekatan itu, lebih banyak produk akan dikeluarkan menyebabkan pengurangan import.

Walaupun langkah itu boleh menjadi dasar kerajaan, beliau berkata, rakyat tidak boleh dipaksa membeli barangan keluaran tempatan.

“Anda boleh bawa kuda ke air tetapi anda tidak boleh paksanya minum air itu,” katanya.

Menurutnya, beliau berharap rakyat Malaysia dapat mencontohi masyarakat Jepun yang cenderung membeli produk mereka sendiri.

“Jika anda memilih produk tempatan, lama-kelamaan kualiti produk tersebut akan bertambah baik. Jika anda tidak menggalakkan produk tempatan dan membeli barang import, tiada peluang bagi produk kita untuk sampai ke standard antarabangsa,” katanya.

 



Comments
Loading...