Orang Cina tak curi duit, kata Mat Sabu


(Berita Harian) – Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau perlu memahami kerosakan dua institusi Melayu, iaitu FELDA dan Tabung Haji (TH), berpunca daripada angkara pemimpin Melayu sendiri.

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu, mendakwa Barisan Nasional (BN) yang dahulunya dikuasai pemimpin Melayu, menyebabkan dua institusi berkenaan dibelenggu kerugian dan penyelewengan.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, kerajaan kini komited untuk memulih dan menyelamatkan kembali dua institusi Melayu itu walaupun perlu memperuntukkan berbilion ringgit.

“Nak selamatkan Tabung Haji, kerajaan bagi RM17 bilion dan Menteri Kewangan Cina (Lim Guan Eng) yang luluskan.

“Nak selamatkan FELDA, kerajaan bagi RM6 bilion.

“Inikah yang dikatakan mereka (pembangkang) kerajaan yang tak membela Melayu,” katanya berucap pada ceramah Grand Finale sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau, di sini, malam ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Kemuncak ceramah malam ini menampilkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mohamad berkata, adalah tidak masuk akal menuduh Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan yang tunduk kepada kaum Cina dan mengenepikan nasib Melayu serta Islam.

“Kami keluarkan bajet untuk bela Malayu (selamatkan FELDA dan Tabung Haji), itukah yang mereka kata bela Cina?” katanya.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan membuat suntikan dana bersih sebanyak RM17.8 bilion kepada TH dan membiayai agensi itu dalam tempoh 10 tahun dari 2020 hingga 2030 bagi memulihkannya.

Kelmarin, kerajaan mengumumkan peruntukan RM6.23 bilion kepada FELDA secara berperingkat dalam bentuk geran, pinjaman dan jaminan kerajaan mengikut keperluan demi kelestarian masa depan agensi tanah rancangan itu.

 



Comments
Loading...