Rosmah dijangka didakwa esok


(NST) – Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dijangka sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, esok, dipercayai berkaitan kes penyelewengan projek tenaga solar sekolah di Sarawak.

Rosmah yang tiba di ibu pejabat SPRM pada jam 1.40 tengah hari tadi dilihat meninggalkan kawasan itu kira-kira jam 3.10 petang selepas selesai memberi keterangan kira-kira dua jam.

Difahamkan, Rosmah disoal siasat berhubung kes penyelewengan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi sekolah di Sarawak.

Sumber memaklumkan, kali ini Rosmah dipanggil bagi melengkapkan siasatan berikutan terdapat dakwaan baharu mengenai penerimaan sejumlah wang bernilai jutaan ringgit.

Pada November tahun lalu, Rosmah didakwa atas dua pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima rasuah RM1.5 juta dalam kes penyelewengan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi sekolah di Sarawak.

Rosmah mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas kedua-dua pertuduhan itu.

Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Beliau boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

 



Comments
Loading...