Kemenangan Tok Mat sekat keangkuhan PH, kata Khairy


(FMT) – Pengundi di Rantau perlu memberi kemenangan kepada calon Barisan Nasional, Mohamad Hasan untuk menyekat keangkuhan kerajaan Pakatan Harapan, kata Khairy Jamaluddin.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata kemenangan Mohamad membolehkan beliau diangkat sebagai ketua pembangkang di DUN Negeri Sembilan bagi “menekan” kerajaan PH jika mereka gagal menunaikan janji.

Beliau turut memberi contoh pengundi Cina yang menyokong DAP sebelum ini kerana tidak mahu BN menjadi terlalu kuat.

“Pengundi Cina ini jujur, kalau dulu pengundi Cina sokong DAP sebab mereka tidak mahu BN jadi terlalu kuat, jadi terlalu angkuh, saya kata sama sekarang kalau Tok Mat menang kita tidak akan ambil alih kerajaan, ia masih di bawah PH, tapi kita letak semula beliau dalam DUN, ada suara kuat dan beliau akan tengok kerajaan tidak tunai janji.

“Kita perlu ada seorang ketua pembangkang yang pernah jadi menteri besar yang boleh ‘pukul’ menteri besar sedia ada, kita angkat Tok Mat semula jadi menteri besar,” katanya ketika ceramah di Kampung Ulu Lalang, Rantau malam tadi.

Khairy berkata, keangkuhan PH menyebabkan rakyat hilang tempat untuk mengadu tentang masalah yang dihadapi.

“Rakyat nak pergi mana, rakyat nak mengadu kepada siapa kalau mereka semua jadi angkuh, jadi sombong, besar kepala, boleh buat apa sahaja. Tengok dalam Parlimen cara jawab soalan besar kepala, sebab apa, sebab terlalu banyak kuasa,” katanya sambil berkata rakyat menyesal memberi undi kepada PH sebelum ini.

Khairy berkata, bukti rakyat menolak PH dapat dilihat menerusi pentas ceramah anjuran BN apabila jumlah penyokong kepada parti itu semakin meningkat.

Katanya, tidak kurang juga sokongan daripada bukan Melayu yang menunjukkan peningkatan.

“Kita tengok ceramah malam ini penyokong meningkat, melimpah sampai keluar.

“Saya hadir majlis presiden MCA bersama dengan masyarakat Cina di Pekan Rantau, lebih daripada 100 meja, lebih 1,000 orang yang hadir beri sokongan. Kebangkitan pengundi Cina menyatakan sokongan pada malam ini sangat hebat,” katanya.

Hadir sama menerusi pentas ceramah itu ialah Presiden MCA Wee Ka Siong dan pemimpin PAS Negeri Sembilan.



Comments
Loading...