Ada usaha burukkan PH guna isu Statut Rom – Tun Mahathir


(Astro Awani) – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan terdapat usaha memburukkan Pakatan Harapan (PH) dalam meratifikasi Statut Rom yang diiktiraf di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) baru-baru ini.

Sambil tidak mendedahkan ‘pihak’ tertentu itu, beliau berkata, usaha ‘pihak’ berkenaan seolah-olah memberi gambaran PH mengkhianati negara dengan perjanjian menandatangani Statut Rom.

“Ada usaha untuk  memburukkan Pakatan Harapan dengan berkata Pakatan Harapan ini mengkhianati negara kita dengan berjanji menandatangani Statut Rom.

“Sebenarnya saya tidak boleh mengambil kuasa kita dalam negara tetapi kalau kita keterlaluan, kita bunuh orang sana sini, ya… Statut Rom boleh dakwa kita dan ajak kita bekerjasama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Sabah yang bertempat di Pusat Konversasi ITCC Penampang.

Terdahulu, kerajaan PH mengambil keputusan menarik diri dalam isu Statut Rom selepas timbul terlalu banyak kekeliruan sehingga membatalkan hasrat meratifikasinya pada 4 Mac lalu.

Mengulas lanjut, Mahathir berkata, meskipun sekiranya meratifikasi Statut Rom itu dilakukan, pihak Mahkamah Antarabangsa tidak boleh berbuat sesuka hati memandangkan tertakluk kepada undang-undang negara.

“Mereka tidak boleh buat semuanya, kalau undang-undang di sini, kita ikut peraturan undang-undang iaitu  kalau orang yang buat salah, kita mengundangnya ke mahkamah ada perbicaraan secara terbuka.

“Tidak ada sebab kenapa Statut akan ada tindakan daripada pihak yang menandatanginya, ” katanya.

 



Comments
Loading...