Tarik diri sertai Statut Rom langkah bijak – Anwar


(Astro Awani) – Keputusan Malaysia menarik diri daripada menyertai Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) adalah satu langkah bijak dibuat oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendirian yang diambil adalah jelas tetapi tetap mengambil kira beberapa pandangan baru terutama daripada raja-raja Melayu.

“Saya ingat ada kebijaksanaan yang dibuat oleh perdana menteri dan kerajaan untuk tidak menimbulkan masalah.

“Saya telah jelaskan dengan perdana menteri dalam pertemuan semalam bahawa prinsip dalam Statut Rom itu ke arah perubahan, ke arah transparent rule of law.

“Tapi kita juga perlu terima kenyataan bahawa beberapa masalah dan kebimbangan perlu dileraikan.

“Sepertimana juga isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), penafsiran negatif oleh politik pembangkang juga perlu kita ambil kira dan jelaskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas menyampaikan ceramah pada program santai petang bersama veteran tentera di Sendayan, Negeri Sembilan.

Terdahulu Dr Mahathir memberitahu, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet semalam setelah mengambil kira bantahan pelbagai pihak termasuk majlis raja-raja.

Katanya penarikan itu bukan kerana ia buruk kepada negara tetapi disebabkan kekeliruan yang dicetuskan oleh pihak tertentu.

Pihak berkenan cuba menjadi ‘hero’ dalam isu Statut Rom dengan menimbulkan kekeliruan kepada rakyat dan raja-raja Melayu.

“Saya fikir media ini terlalu nakal dalam memberi tafsiran. Kenyataan itu sudah spesifik. Perdana Menteri hanya mengatakan ia melibatkan personaliti daripada keluarga diraja.

“Kita perlu berhati-hati untuk tidak membuat fitnah atas apa yang Dr Mahathir kata. Ia sangat jelas kerana kami telah mengadakan perbincangan bersama,” katanya.

 



Comments
Loading...