Dividen Tabung Haji tahun 2018 hanya 2.08 peratus?


Jangkaan dibuat berdasarkan nilai aset, liabiliti semasa Tabung Haji

(ismaweb) – Datuk Seri Najib Razak menjangkakan kadar hibah atau dividen Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tahun kewangan 2018 yang boleh diisytiharkan, hanya 2.08 peratus sahaja.

Bekas Perdana Menteri membuat jangkaan itu selepas melakukan perbandingan nilai aset dimiliki TH sekarang ini, dengan liabiliti, sebagaimana diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa di Dewan Rakyat, Isnin lalu.

“Jika kerajaan PH tidak membuat creative accounting saat terakhir, kadar hibah termasuk bonus Tabung Haji paling tinggi untuk tahun 2018 yang boleh diisytiharkan ialah 2.08% sahaja.

“Ya, Hibah + Bonus TH paling tinggi pun hanya 2.08%. Ini telah didedahkan secara tidak sengaja oleh Menteri Kekanda kita pada hari Isnin.

“Hari itu, dia mendakwa selepas aset dipindah kepada SPV, TH sudah memulihkan imbangan aset apabila nilai asetnya mencatatkan RM76.5 bilion berbanding liabiliti sebanyak RM75.5 bilion setakat Disember 2018 – iaitu kelebihan RM1 bilion,” katanya.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, ini bermakna jumlah dana yang boleh diagihkan untuk membayar hibah bagi tahun kewangan 2018 adalah kurang daripada RM1 bilion iaitu sekitar RM930 juta, kerana akta TH tidak membenarkan jumlah nilai aset TH jatuh di bawah liabiliti.

Jika apa yang dijangkakan bekas Perdana Menteri ini menjadi kenyataan, kadar hibah itu akan menjadi yang paling rendah diberikan dalam tempoh lebih dua dekat. (lihat jadual di bawah)

Mengulas lanjut, Najib berkata, untuk tahun kewangan 2017, TH menggunakan dana sebanyak RM2.7 bilion untuk membayar hibah serta bonus sebanyak 6.25 peratus.

“Memandangkan lebihan dana untuk tahun 2018 hanya 1/3 daripada jumlah RM2.7 bilion yang dibayar untuk hibah 2017, maka hibah serta bonus TH untuk tahun 2018 juga hanya 1/3 daripada kadar untuk tahun 2017 – iaitu paling tinggi pada kadar 2.08%.

“Itupun bergantung kepada juruaudit untuk membenarkan penilaian semula SPV yang besar itu digunakan kerana SPV itu tidak dijamin oleh kerajaan.

“Jika juruaudit tidak membenarkan, maka TH akan dalam defisit dan tidak ada hibah untuk tahun 2018,” katanya.

Beliau berkata, jumlah nilai saham di Bursa Malaysia jatuh RM270 bilion pada tahun 2018 selepas indeks bursa menjunam susulan kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU) 9 Mei tahun lalu.

“Kita semua maklum bahawa nilai aset Khazanah sudah jatuh RM25 bilion pada tahun lepas akibat kejatuhan saham ini. Macam mana pula nilai aset TH tidak akan mengalami sebarang penurunan juga memandangkan 53% daripada aset TH dilabur di dalam pasaran saham?

“Sudah tentu, TH telah mengalami kerugian nilai yang besar tahun lepas walaupun menteri jaga agama tidak pernah sekalipun mengaku tetapi hanya cuba berulang-kali untuk mempersalahkan BN,” katanya.

Bagaimanapun, Najib berkata, kerajaan mempunyai satu jalan lagi yang agak berbahaya untuk masa depan iaitu menukar sistem perakaunan kepada Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia 9 (MFRS 9) untuk tahun 2018.

Sistem MFRS 9, katanya, berbeza daripada sistem MFRS 136 yang digunakan oleh TH sebelum ini kerana mengikut MFRS 9, TH tidak perlu lagi untuk mengiktiraf sebarang rosot nilai ke atas pegangan ekuiti tersenarainya.

“Jika TH tidak lagi ambil kira rosot nilai untuk nilai saham pada tahun lepas, maka lebihan dana yang boleh diagihkan untuk membayar dividen akan lebih besar daripada RM1 bilion sekarang.

“Maka kadar Hibah dan bonus TH untuk tahun 2018 boleh dinaikkan melebihi 2.08% yang dibenarkan pada masa ini. Jika lebih tinggi dari 2.08% maka ‘magic’ sudah berlaku dan masa depan TH terancam. Kita tengok dan lihat,” katanya.

 



Comments
Loading...