Kenyataan Izzah tak dituju kepada Dr M sepenuhnya, kata Anwar


(FMT) – Presiden PKR, Anwar Ibrahim hari ini mempertahankan anak sulungnya, Nurul Izzah yang dilaporkan kecewa dengan perkembangan politik negara sejak pilihan raya umum lalu, dengan berkata kenyataan itu tidak merujuk sepenuhnya kepada Dr Mahathir Mohamad.

“Kenyataan itu dibuat agak lama dan dilapor akhbar Singapura, Straits Times.

“Ada suara sumbang di keliling terus buat serangan. Saya fikir tumpuan kita ekonomi,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Nurul Izzah dalam temubual dengan akhbar Singapura, Straits Times sebelum ini berkata, beliau “patah hati” dengan perkembangan politik di Malaysia selepas pilihan raya umum 9 Mei 2018.

Beliau juga tidak berpuas hati dengan kekurangan naratif jelas mengenai usaha memperkuatkan aliran pertengahan dan bekas ahli Parlimen Umno diterima menyertai Pakatan Harapan.

Katanya, tidak mudah bekerja dengan “bekas diktator” yang menjadi punca berlakunya begitu banyak kerosakan.

Kenyataan Nurul Izzah itu kemudiannya dikritik pimpinan PPBM, termasuk Ahli Majlis Tertingginya, Tariq Ismail Mustafa.

Semalam, Mahathir dipetik Utusan Malaysia sebagai berkata, beliau juga kecewa dengan keadaan dalam negara seperti Nurul Izzah.

“Tidak apalah banyak orang kecewa, saya pun kecewa dengan mereka,” kata perdana menteri yang juga pengerusi PPBM dan PH.

Hari ini, Anwar berkata, PH bersetuju memberi ruang dan sokongan kepada Mahathir memimpin negara selepas pilihan raya umum ke-14, tetapi ia tidak bermakna pemimpin tidak boleh mempunyai perbezaan pendapat dan membuat teguran.

“Ada setengah orang fikir ini macam kerajaan Umno dulu. Tidak, kita beri ruang, tapi pendirian kita, termasuk saya dan keluarga, beri ruang dan peluang kepada Dr Mahathir sebagai pemimpin dan perdana menteri.

“Tak apalah, itu pandangan dia (Nurul Izzah). Saya jelaskan, peringatan supaya semua pihak faham, setuju dan patuh kepada perjanjian dan persefahaman antara kita. Tumpu bangun ekonomi membela rakyat.

“Secara konsisten, kita pilih Dr Mahathir dan sokong dia sebagai perdana menteri. PAS nak kipas tak payahlah.

“Dr Mahathir (memberi) jawapan matang, tumpu soal lebih asas (iaitu) prestasi kerajaan PH. Teguran Dr Mahathir kena diambil berat.”

Pengganti pengerusi PAC

Anwar berkata, ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang perlu berbincang dengan Mahathir untuk mencari pengganti Kiandee bagi menerajui PAC.

“Manifesto PH terlalu jelas, tak kabur. Kita harus cari jalan bagaimana boleh selesaikan dengan baik. Tugas speaker (Dewan Rakyat ialah) tanya pandangan perdana menteri.

“Saya tak rasa ini isu besar dan bukan kompleks, tak perlukan berbilion ringgit…nak ‘reward’ Ronald, cari kedudukan lain.”

Ahad lalu, Kiandee memberitahu FMT, beliau akan patuh kepada keputusan Mahathir untuk melepaskan jawatan itu sebaik sahaja penggantinya ditemui.

PH dalam manifesto PRU14 menetapkan pengerusi PAC perlu dilantik daripada kalangan ahli Parlimen pembangkang bagi mewujudkan semak dan imbang terhadap eksekutif.

 



Comments
Loading...