Nurul Izzah diam diri selepas kritik Dr M, tinggalkan PAC


(FMT) – Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar hari ini enggan mengulas tindakannya meletak jawatan dalam Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara dan kritikannya terhadap perdana menteri serta perkembangan politik negara selepas pilihan raya umum lalu.

Beliau terus meninggalkan bangunan Parlimen, selepas menjawab “tiada komen” ketika dikejar wartawan sehingga ke tempat letak kereta.

Anak sulung Anwar Ibrahim itu hadir di Parlimen hari ini untuk bertanya soalan kepada Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad mengenai data dan statistik penghidap diabetis serta jangkaan kesan cukai minuman bergula terhadap ekonomi negara dan tahap kesihatan rakyat.

Sebelum ini, Nurul Izzah dalam temubual dengan akhbar Singapura, Straits Times mengakui beliau “patah hati” dengan perkembangan politik negara selepas pilihan raya umum tahun lalu.

Beliau juga tidak berpuas hati dengan kekurangan naratif jelas mengenai usaha memperkuatkan aliran pertengahan dan penyertaan bekas ahli Parlimen Umno dalam Pakatan Harapan.

Katanya, tidak mudah bekerja dengan “bekas diktator” yang menjadi punca begitu banyak kerosakan berlaku.

Kenyataan itu kemudiannya dikritik pemimpin PPBM seperti Ahli Majlis Tertingginya, Tariq Ismail Mustafa.

Minggu lalu, Nurul Izzah turut meletak jawatan sebagai ahli PAC kerana Mahathir membenarkan Ahli Parlimen Beluran, Ronald Kiandee kekal mengetuai jawatankuasa itu selepas menyertai PPBM, 15 Mac lalu.

Nurul Izzah menerusi Twitternya sebelum ini berkata, jawatan pengerusi PAC harus dipegang wakil rakyat pembangkang untuk mengejar kebertanggungjawaban pihak eksekutif.

 



Comments
Loading...