Annuar Musa sokong Anwar jadi PM


(FMT) – Annuar Musa (BN-Keterah) menyatakan sokongan kepada Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat, mengatakan dia berbangga dengan ucapan dan pemikiran Ahli Parlimen Port Dickson itu.

“Saya tidak faham kenapa disebelah sana masih ada keraguan. Sebahagian dari sana, sekurang-kurangnya, cuba melambatkan proses Port Dickson mengambil alih jadi perdana menteri.

“Barangkali Dewan Rakyat boleh memahami kerana kalau diperhatikan ucapan Port Dickson tadi ternyata ada aliran pemikiran yang sangat nyata antara Port Dickson dan Langkawi.

“Dalam keadaan Langkawi dengan kereta terbangnya dan penswastaan,” katanya, merujuk kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad (PH-Langkawi).

Kenyataan itu menyebabkan RSN Rayer (PH-Jelutong) memetik Perintah Tetap 36(6) dan meminta Annuar meneruskan perbahasan tanpa niat tidak baik bagi mengelakkan konflik.

Annuar bagaimanapun berkata rakyat sedang memerhatikan kerajaan menerusi pilihan raya kecil.

“Kami rasa senang dengan tuntutan Port Dickson, malah kalau ada undian, rasa kami beri undi pada Port Dickson kalau undi tak cukup.”

PAS sebelum ini memberi bayangan tentang usaha menjatuhkan Mahathir menerusi undi tidak percaya di Dewan Rakyat dan berkata ia akan menyokong perdana menteri sekiranya berlaku pengkhianatan dalam kalangan ahli politik Pakatan Harapan.

Perkara itu bagaimanapun dinafikan oleh beberapa pemimpin PH termasuk Anwar.

Terdahulu, Anwar berucap mengenai beberapa isu termasuk menyeru suatu perbahasan tergempar diadakan mengenai serangan terhadap masjid di Christchurch, New Zealand baru-baru ini.

Beliau berkata mangsa dibunuh kerana kepercayaan agama.

Anwar percaya matlamat serangan di 2 masjid itu adalah menanam kebencian dan mengalakkan keganasan di serata dunia, dan pelaku cuba mengumpan orang Islam supaya membalas dendam.

Beliau berkata pelaku cuba menanam rasa takut dan syak wasangka dalam kalangan orang bukan Islam terhadap orang Islam.

Anwar menggesa Dewan Rakyat meluluskan usul mengecam sekeras-kerasnya kejadian itu. Perbahasan mengenainya akan diadakan pada 4.30 petang ini.

 



Comments
Loading...