Perjanjian air: Saifuddin bidas kenyataan ‘melulu’ Singapura


(FMT) – Putrajaya hari ini membidas kenyataan Singapura yang mencadangkan Malaysia tidak menghormati perjanjian air dengan republik itu, dengan Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah menyifatkan rakan sejawatnya mengeluarkan kata-kata “semberono”.

Saifuddin menjawab kenyataan Dr Vivian Balakrishnan kepada seruan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang meminta perjanjian 1962, di mana Johor membekalkan air mentah kepada Singapura, dikaji semula.

Vivian antara lain berkata Malaysia hilang hak untuk mengkaji perjanjian itu selepas ia sebelum ini memilih untuk tidak mengkaji semula harga air.

“Saya tidak tahu menteri luar Singapura guna bahasa Inggeris apa dalam tafsirannya. Kita menghormati perjanjian itu, sebab itu kita kata kita boleh kaji semula 25 tahun selepas perjanjian itu ditandatangani,” katanya kepada Dewan Rakyat hari ini.

Beliau terkejut dengan kenyataan Vivian di Parlimen Singapura mengenai keputusan Malaysia untuk mengkaji semula perjanjian air tersebut, menyifatkan ia “semberono”.

Saifuddin mempersoalkan dakwaan Malaysia tidak boleh mengkaji semula perjanjian itu selepas tempoh 25 tahun.

“Dalam klausa 14 perjanjian itu, ia menyebut ia tertakluk kepada kaji semula selepas 25 tahun dari tarikh sekarang, bukan dalam tempoh 25 tahun,” katanya.

Saifuddin juga membidias Vivian kerana menyifatkan seruan Dr Mahathir sebagai cubaan untuk mengalihkan tumpuan, mengatakan menteri luar negeri itu mengangin-anginkan kerajaan Malaysia semasa berdepan masalah tadbir urus.

Beliau juga mempersoalkan dakwaan Singapura bertolak-ansur dengan Malaysia dengan membekalkan air terawat pada harga murah kepada Johor di masa kemarau.

“Fakta ini tidak tepat,” katanya.

Perjanjian air yang tamat pada 2061 membenarkan Singapura mengambil hingga 250 juta gelen air sehari (mgd) dari Sungai Johor.

Sebagai balasan, Johor berhak mengambil bekalan air dirawat hingga 2% atau 5 mgd daripada air yang dibekalkan kepada Singapura setiap hari.

Singapura membayar 3 sen bagi setiap 1,000 gelen air mentah dan menjual air yang dirawat kepada Johor pada harga 50 sen bagi setiap 1,000 gelen.

Saifuddin menjawab soalan Wan Junaidi Tuanku Jaafar (BN-Santubong) yang mahu tahu terma rujukan dalam perbincangan mengenai perjanjian bekalan air antara Malaysia dan Singapura.

Saifuddin berkata rundingan antara kedua-dua negara sudah lama tertangguh tetapi dimulakan semula oleh kerajaan Pakatan Harapan.

“Ia bermula dengan lawatan saya ke Singapura Julai lalu untuk menemui menteri luar Singapura dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong, tetapi masa itu, Singapura enggan berunding.

“Selepas itu, Mahathir menyuarakan perkara ini kepada Lee ketika lawatan beliau ke Singapura November lalu dan Lee setuju perkara tersebut dibincang,” katanya.

Saifuddin berkata, peguam negara kedua negara telah berbincang dalam mesyuarat yang diatur kementeriannya.

“Kita sepatutnya telah memasuki tahap kedua perbincangan untuk meneliti isu modaliti harga air, jangka masa perbincangan dan bagaimana boleh mencapai isu berkaitan,” katanya.

Katanya, wakil-wakil Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli, serta kerajaan Johor turut menyertai perbincanga tersebut.

Kepada soalan tambahan Wan Junaidi, Saifuddin berkata, memang ada subsidi diberikan kepada Singapura dalam penjualan dan pembelian air.

“Malaysia memberi subsidi pada kadar minima RM42 juta setahun kepada Singapura, atau sekurang-kurangnya RM2.4 bilion sehingga sekarang atau kira-kira RM100,000 sehari.

“Ini adalah kadar minimum sejak bermulanya perjanjian hingga sekarang. Seperti yang berhormat katakan, kita jual murah dan beli mahal.

“Banyak perkara teknikal terlibat. Kita akan keluarkan kenyataan menyeluruh,” katanya.

Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) bertanya langkah Putrajaya seterusnya sekiranya Singapura masih enggan berunding.

Kata Saifuddin, kementeriannya berusaha bersungguh-sungguh bersama Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli, serta kerajaan Johor bagi menjamin rakyat Johor mempunyai bekalan air sendiri, tanpa bergantung langsung kepada Singapura.

“Kalau ini gagal, kita terpaksa bawa perkara ini ke mahkamah timbang tara antarabangsa. Saya harap sekiranya kita sampai ke peringkat itu, ahli-ahli Parlimen akan memberi sokongan penuh demi rakyat Malaysia amnya, dan rakyat Johor khususnya,” katanya.



Comments
Loading...