LGBT: haiwan pun hairan, kata Mufti Perlis


(Utusan) – Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menyifatkan tindakan penyokong lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) berhimpun dalam perakan hari wanita di Kuala Lumpur semalam bukan sahaja bertentangan dengan syariat Islam dan naluri insani, malah turut ‘menghairankan haiwan’.

Katanya, sebagai manusia biasa, golongan itu memang berhak berkumpul mempertahankan hak mereka selagi tidak bertentangan dengan ajaran Islam dan naluri insani.

“Manusia biasanya berkumpul dan melaungkan perasaan untuk menuntut hak yang Tuhan berikan tapi telah dicabuli atau mencari kebaikan demi membela fitrah insani. Malangnya bagi golongan songsang mereka berhimpun dan menjerit menuntut supaya kesongsangan hidup mereka diiktiraf.

“Mereka bukan sahaja mendedahkan keaiban diri bahkan mendedahkan betapa mereka itu ‘cacat’ mencacatkan fitrah. Perarakan seperti itu bukan sahaja menghairankan manusia yang menuruti fitrah yang Allah tetapkan, tapi ia juga boleh menghairankan alam haiwan yang sentiasa berada atas ketetapan ciptaan Tuhan,” katanya dalam status Facebooknya di sini, hari ini.

Dalam satu himpunan dan perarakan Women’s March yang diadakan semalam, penyokong LGBT dirakam melaungkan slogan seperti `Hidup LGBT’ dan mengibarkan bendera pelangi yang menandakan sokongan mereka terhadap golongan itu.

Walaupun perarakan itu bertujuan untuk meraikan Hari Wanita Sedunia yang disambut semalam, kelibat penyokong LGBT dilihat mencemarkan perarakan tersebut.

Antara perkara yang dituntut kumpulan berkenaan pada perhimpunan itu ialah menghapuskan diskriminasi jantina, menghentikan keganasan terhadap wanita dan kesaksamaan gender.

 



Comments
Loading...