Abdul Hadi imamkan Solat Hajat Perdana malam esok


Tangkis serangan fitnah terhadap Pas

(Utusan) – Kepemimpinan Pas bersama ahli serta para penyokong parti itu akan mengadakan solat hajat perdana di Masjid Rusila, Marang malam esok, 7 Mac bagi menangkis serangan fitnah terhadap Pas.

Solat hajat itu diadakan sempena program Munajat dan Solat Hajat Perdana Peringkat Negeri Terengganu yang dijadual bermula pukul 8.30 malam.

Solat hajat itu akan diimamkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Aturcara majlis dimulakan dengan solat Isyak berjemaah yang diikuti munajat, solat hajat perdana serta ucapan daripada Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang.

Antara pemimpin serta kenamaan yang dijangka hadir ialah Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Speaker Dewan Undangan Negeri yang juga Yang Dipertua Pas Marang, Yahaya Ali; Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang dan Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas negeri, Satiful Bahri Mamat.

Umat Islam yang hadiri program anjuran Badan Perhubungan Pas Negeri Terengganu itu turut digalakkan berpuasa sunat esok.

Pada 1 Mac lalu, Presiden Pas yang berada di Indonesia atas urusan rasmi parti tampil memberi reaksi setelah beliau serta kepemimpinan Pas diserang fitnah berkaitan perkembangan terbaharu isu dana RM90 juta.

Menerusi entri beliau dalam akaun Facebook miliknya menyeru seluruh pemimpin, ahli serta penyokong Pas supaya bermunajat dan berdoa kepada Allah mengenai apa yang dihadapi parti itu ketika ini.

Dalam seruan itu, Abdul Hadi mahu mereka berkenaan sama-sama menunaikan solat hajat selain berpuasa, membaca al-Quran serta melakukan amal kebajikan.

Malah beliau juga mahu seluruh kepemimpinan, ahli serta para penyokong Pas supaya bertawassul memohon kepada Allah agar memberi balasan sewajarnya di dunia dan akhirat. –

 



Comments
Loading...