Art Harun dengan dua idolanya…


Nizam Yatim, Utusan Online

APABILA disebut nama Tan Sri Dr. Arshad Ayub, ramai dalam kalangan kita mengenali beliau sebagai tokoh pendidikan yang bertanggungjawab mengubah pelajar bumiputera menjadi individu cemerlang dalam kerjaya masing-masing ketika berkhidmat di Institut Teknologi Mara (ITM) dari 1965 hingga 1975.

Sebenarnya terdapat ramai lagi tokoh lain sama hebat seperti beliau yang tidak diketahui kebanyakan daripada kita.

Ini didedahkan kepada Utusan Malaysia oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini semasa bercakap mengenai hala tuju dan perancangan badan itu dalam mengendali proses pilihan raya.

Mari kita luangkan sebentar melayari kisah beliau. Azhar, 57, yang lebih mesra dengan panggilan Art Harun berasal dari Kampung Sanglang, Kedah. Beliau berkelulusan Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) dari Universiti Malaya (UM) dan Sarjana Undang-Undang (LLM) dari King’s College, University of London.

Selain berpengalaman menjadi peguam dalam pelbagai kes petisyen pilihan raya selama lebih 30 tahun, Azhar berada dalam pasukan peguam yang berjaya membebas penulis blog, Raja Petra Kamarudin daripada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 2008.

Sisi lain Azhar yang tidak diketahui banyak pihak adalah beliau boleh membaca tulisan jawi hasil daripada ketekunan menelaah akhbar Utusan Melayu yang dilanggan secara tetap oleh bapanya sejak beliau masih kanak-kanak.

“Saya membesar dengan Utusan Melayu yang jawi itu, ada 50 orang di kampung saya yang melanggan akhbar ini termasuk bapa,” katanya ketika mengulas mengenai medium yang mendedahkannya dan adik-beradik yang lain dengan sumber maklumat pada usia muda sehingga mereka menjadi individu yang berjaya dalam hidup.

Abang Azhar, Idrus ialah Hakim Mahkamah Persekutuan manakala seorang lagi abang, Mahadir ialah penasihat undang-undang Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika menjadi Menteri Perdagangan dan Industri.

Selain itu, ditanya mengenai individu yang banyak berjasa untuk mengubah beliau daripada ‘anak kampung’ menjadi seperti sekarang, Azhar menyebut dua nama ketika beliau belajar di UM dari 1982 hingga 1986.

Mereka ialah bekas Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UM, Allahyarham Profesor Madya Dr. Mohd. Yunus Mohd. Noor dan bekas Pengetua Kolej Kediaman Ketujuh (Asrama Za’ba) UM, Profesor Emeritus Dr. Omar Farouk Sheikh Ahmad, 72.

Kedua-dua mereka berkhidmat ketika UM diterajui oleh Naib Canselor, Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid dari 1968 hingga 1988.

Keberkesanan kaedah tokoh-tokoh ini yang telah mewujudkan suasana terbuka bagi menggalakkan pembangunan diri dan kepemimpinan mahasiswa memang tidak boleh disangkal.

Selain Azhar, ramai lagi individu berjaya yang telah dikeluarkan UM selaras dengan ungkapan pemimpin tidak dilahirkan tetapi dibentuk.

Ketika itu turut sama belajar di UM ialah Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob; bekas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof; Naib Presiden MCA, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.

“Takiyuddin dengan saya satu kolej, Lian Ker pula tak, tapi satu fakulti…Fadillah, dia sampai jadi menteri…kita semua aktif dalam aktiviti pelajar bersama,” katanya.

Nama-nama lain yang diingati Azhar ialah Perunding Kanan Pakar Bedah Kardiotorasik Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr. Mohamed Ezani Md. Taib dan perunding pengiklanan, Anas Zubedy.

Sebagai individu yang berpeluang mendapat didikan terus daripada Mohd. Yunus dan Omar Farouk yang kini berkhidmat sebagai Profesor Emeritus di Hiroshima City University, Azhar berkata, pendekatan Mohd. Yunus terhadap pendidikan adalah amat berlainan, sangat terbuka, dinamik, progresif dan penyayang.

“Dua orang ini sebenarnya bukan mentor saya sahaja, tetapi saya rasa ramai dalam kalangan pelajar waktu itu. Dari segi keperibadian, profesionalisme, karier dan etika dua orang ini amat berpengaruh kepada saya.

“Sampai sekarang, etika dan matlamat kerja saya, keperibadian malah cara saya membesar anak-anak pun, saya ikut dua orang ini. Tetapi sayangnya, kedua-dua mereka macam kurang dihargai dan tak ramai orang tahu (jasa) mereka.

“Saya rasa Dr. Omar Farouk boleh lagi menyumbang kepada pendidikan kita,” ujarnya.

TETAP BERPOLITIK DI KAMPUS

KETIKA berbual dengan Azhar, satu persoalan yang terlintas dalam fikiran penulis: “Adakah sekatan pelajar berpolitik di kampus seperti yang berlaku di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini satu langkah yang bijak?”

Antara mangsanya ialah aktivis sosial, Hishamuddin Rais dan bekas Perdana Menteri yang kini popular dengan slogan #maluapabossku, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dilarang berucap dalam kampus berkenaan.

Jika dilihat kaedah diamalkan ketika Azhar menuntut di UM pula cukup berlainan.

Azhar tidak mengulas isu di UKM itu tetapi menjelaskan:

“Ketika itu (1980-an), Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dah ada, jadi sebenarnya kami tak boleh aktif politik tetapi pentadbir UM ketika itu khususnya Ungku Aziz dan Mohd. Yunus mengamalkan dasar terbuka yang membenarkan aktiviti cenderung kepada politik.

“Aktiviti ini menggunakan nama-nama seperti kursus kepemimpinan dan debat perdana. Yang selalu datang adalah wakil kerajaan dan pembangkang ketika itu termasuk Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Presiden Pas), Lim Kit Siang (Penasihat DAP), Dr. Tan Seng Giaw (veteran DAP) dan Abdul Razak Ahmad (bekas Timbalan Presiden Parti Rakyat Malaysia).

“Sekarang saya tak tahu, tetapi dulu kita bangunkan personaliti dan semua ini di universiti. Sekolah itu asaslah tetapi apabila masuk universiti kita berkembang,” kata Azhar.

Ditanya nasihatnya kepada semua pihak termasuk kakitangan SPR, beliau berkata, semua individu perlu berusaha untuk menjadi yang terbaik dalam setiap perkara dibuat.

“Kita nak jadi yang terbaik senang sahaja. Bila kita hadapi sesuatu halangan, kita jangan berhenti. Sebaliknya kita kena cari cara untuk mengatasinya.

“Kebanyakan kita bila ada halangan, terus kata tak boleh buat dan habis cerita. Bagi saya cerita kita tak perlu habis kat situ, kita kena tengok, apakah langkah seterusnya,” kata beliau.

 



Comments
Loading...